suria

Pesawat terhempas atas kilang makanan, semua penumpang maut

Menurut laporan, terdapat 10 individu dalam pesawat kecil itu.

SEBUAH pesawat terhempas atas sebuah kilang makanan sehingga menyebabkan berlaku letupan besar di kawasan itu.

Menurut laporan, terdapat 10 individu dalam pesawat kecil model Cessna 401 atau Cessna 402 itu.

Insiden itu menyebabkan berlakunya letupan besar di kilang General Mills di Covington, Georgia, Amerika Syarikat, pada petang Khamis.

Imej mengejutkan dari tempat kejadian menunjukkan kepulan asap hitam tebal keluar dari bangunan perindustrian itu.

Identiti juruterbang atau anak kapal masih belum didedahkan kepada umum.

Menurut wartawan tempatan Denise Dillon, kesemua mangsa yang terlibat dalam kejadian itu meninggal dunia.

"Pihak berkuasa Covington memberi maklumat terkini mengenai nahas pesawat di General Mills. Mereka mengatakan pesawat itu meletup kerana terhempas. Tiada seorang pun penumpang terselamat," ujarnya.

Jurucakap Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) turut mengesahkan kejadian itu.

Jurucakap General Mills berkata, tiada pekerja mereka cedera dalam kejadian itu.

"Sebuah pesawat kecil terhempas berhampiran kemudahan pembuatan General Mills di Covington.

"Tiada pekerja yang cedera dan kami bekerjasama dengan FAA dan penguatkuasaan undang-undang tempatan," ujar jurucakap itu lagi. - Daily Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain