suria

Budak lelaki terselamat jadi korban tanah runtuh... Berlindung selama 20 jam dalam peti ais

Kanak-kanak lelaki bernama CJ Jasme berlindung di dalam peti sejuk selama kira-kira 20 jam sebelum ditemui pasukan penyelamat.

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun terselamat daripada menjadi korban insiden tanah runtuh selepas berlindung di dalam sebuah peti sejuk.

Dalam kejadian yang berlaku Jumaat lalu, di Bandar Baybay, Filipina, kanak-kanak lelaki itu yang dikenali sebagai CJ Jasme, berada di rumah bersama keluarganya.

Tiba-tiba banjir lumpur menenggelamkan rumahnya berpunca daripada tanah runtuh yang tercetus susulan bencana Taufan Megi.

Dia segera bersembunyi di dalam peti sejuk dan berlindung di dalamnya selama kira-kira 20 jam sebelum ditemui pasukan penyelamat.

Menurut media tempatan, pihak berkuasa berkata mereka menemui CJ Jasme terbaring di dalam peti sejuk semasa operasi menyelamat di Barangay Kantagnos.

Ajaibnya ketika ditemui, CJ Jasme masih dalam keadaan sedar walaupun kakinya patah.

Pasukan penyelamat berkata, perkataan pertama yang terkeluar daripada mulut kanak-kanak tersebut ialah 'saya lapar'.

Apabila ditanya di mana keluarga dan rakan-rakannya, dia berkata, 'Saya seorang sahaja yang tinggal, tiada sesiapa bersama saya lagi'.

Kanak-kanak tersebut segera dikejarkan ke hospital untuk menjalani pembedahan.

Pihak berkuasa berkata dia kini berada dalam keadaan stabil.

Dilaporkan, ibu dan adik lelakinya masih hilang, manakala bapanya meninggal dunia dalam insiden tersebut. - India.com

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain