suria

Luar biasa! Lelaki dipercayai berusia 114 tahun pulih Covid-19 selepas 14 hari dirawat – “Saya menangis dan berdoa pada Tuhan”

Aba Tilahun Woldemichael yang dipercayai berusia 114 tahun pulih daripada wabak Covid-19 selepas 14 hari menerima rawatan. Foto: Hana Atsbeha

SATU keajaiban! Demikian kata doktor selepas pesakitnya, seorang lelaki berusia lebih daripada 100 tahun dari Ethiopia, akhirnya pulih daripada wabak Covid-19.

Menurut ahli keluarga Aba Tilahun Woldemichael, mereka mengatakan lelaki itu berusia 114 tahun dan ia menjadikannya lelaki tertua di dunia, namun tidak ada sijil kelahiran untuk mengesahkan usia sebenarnya.

Aba Tilahun disahkan positif untuk wabak Covid-19 selepas proses pemeriksaan rawak dilakukan di kawasan kejiranannya, di Addis Ababa.

"Dia dimasukkan ke hospital sebelum menunjukkan sebarang gejala.

"Ini membolehkan pasukan perubatan proaktif dengan rawatan dan mengawasinya dengan teliti," demikian kata Dr Hiluf Abate sewaktu program Newsday BBC.

Individu yang berusia lebih daripada 80 tahun dianggap antara yang paling berisiko sekiranya mereka dijangkiti wabak maut tersebut.

Aba Tilahun yang merupakan biarawan Kristian Ortodoks Ethiopia, kini dijaga di rumah oleh cucunya.

"Ketika saya di hospital, saya berdoa kepada Tuhan agar kembalikan kesihatan saya. Saya menangis dan berdoa agar seluruh negara kembali sihat," katanya kepada BBC.

Secara keseluruhan, Aba Tilahun menerima rawatan selama 14 hari di hospital, dan dia memerlukan bantuan oksigen selama lebih dari seminggu.

Ethiopia mencatatkan lebih daripada 5,000 kes positif Covid-19 dengan 81 kes kematian dicatatkan. - BBC.Com

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Covid-19, pulih, Addis Ababa, biarawan

Artikel Lain