suria

Petani ‘terperangkap’ dalam badan kanak-kanak, tidak alami akil baligh

Pertumbuhan Zhu Shengkai terhenti selepas kepalanya terkena batu ketika zaman kanak-kanaknya. -foto Weibo

SEORANG lelaki berusia 34 tahun'terperangkap' dalam badan seorang kanak-kanak akibat kecederaan otak yang dialaminya ketika berusia enam tahun.

Zhu Shengkai, seorang petani dari wilayah Hubei, di China mendakwa badannya berhenti membesar selepas kepalanya terkena batu ketika zaman kanak-kanak.

Lelaki itu yang juga bekerja sebagai pendandan rambut berkata: "Saya masih seperti kanak-kanak, sebab itu saya tak ada isteri atau anak."

"Saya juga tak boleh jadi tua," katanya.

Bercakap kepada media China dari rumahnya di sebuah kampung berhampiran bandar Wuhan, dia menambah: "Walaupun umur saya 34 tahun, fungsi tubuh saya masih belum matang seperti kanak-kanak."

Katanya, dia sering disalah anggap sebagai budak lelaki oleh orang lain kerana suara dan penampilannya seperti budak-budak.

Shengkai berkata dia terkena batu ketika sedang bermain.

Shengkai sering disangka kanak-kanak kerana penampilan dan suaranya. -foto Weibo

Doktor memberitahu bahawa dia mengalami kecederaan di kelenjar pituitari - bahagian otak yang melepaskan hormon yang mengawal pertumbuhan tubuh.

Bagaimanapun, disebabkan kurangnya perkhidmatan kesihatan pada tahun 1980-an di luar bandar China, dia tidak pernah dirawat dengan baik.

Menurut lelaki itu, kepalanya tidak berdarah selepas terkena batu, jadi dia tidak mengambil serius tentangnya.

Bagaimanapun, pada malam yang sama, dia mula mengalami demam panas yang teruk dan keadaannya tidak bertambah baik selepas tiga hari.

Ibu bapanya membawanya ke sebuah klinik tempatan dan dia didapati mempunyai darah beku di otak. Pakar bedah mengeluarkan benjolan itu dan ibu bapanya menganggap dia telah sembuh.

Shengkai, tiga tahun selepas itu hidup gembira seperti anak-anak lain.

Tetapi ketika berusia sembilan tahun, dia mendapati ketinggiannya tidak bertambah selain keadaan dirinya kekal seperti berusia enam tahun.

Setelah pergi ke hospital yang lebih besar, dia dimaklumkan bahawa kelenjar pituitarinya telah rosak.

Dia mengikuti arahan doktor dan mengambil ubat selama lima tahun, tetapi tidak ada perubahan.

Dia juga tidak pernah mengalami proses akil baligh.

Shengkai kini hidup dengan bercucuk tanam dan membuka salun rambut.

Dia sebenarnya kecewa dengan hakikat bahawa tubuhnya masih berfungsi seperti budak berusia enam tahun, mustahil untuk dia memiliki keluarga sendiri.

Tetapi pada masa yang sama, dia juga bersikap positif.

"Saya tengok orang yang lain seusia saya wajah mereka semuanya berkedut, tapi wajah saya masih lembut dan tak berkedut. Baik juga jika saya kelihatan seperti ini ketika saya sudah tua," katanya. -Mail Online

bantut, pertumbuhan, pituitari, kelenjar

Artikel Lain