suria

Tarian tiang 'sambut' murid tadika buat ramai ibu bapa bimbang

BEIJING: Sebuah nurseri di China dikritik banyak pihak selepas ia mempersembahkan tarian tiang ketika acara pembukaan sesi persekolahan baharu di negara itu.

Menurut laporan akhbar Southern Metropolis Daily, ibu bapa dan kanak-kanak dijemput menghadiri majlis tersebut di Tadika Xinshahui di bandar selatan Shenzhen, Isnin.

Sebagai sebahagian daripada program, keluarga terbabit juga dijemput menonton persembahan beberapa penari wanita termasuk tarian tiang.

Rakaman memaparkan aksi penari itu turut menjadi tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi ribuan pengguna blog mikro, Sina Weibo.

"Saya tidak mahu tahu apa yang guru besar tadika itu fikirkan apabila dia mempersembahkan tarian seumpama itu. Ia tidak sesuai untuk kanak-kanak," kata salah seorang pengguna Weibo.

Seorang lagi pengguna berpendapat, kanak-kanak tadika patut diberi pelbagai ilmu, namun bukan terlampau banyak pengetahuan seperti itu.

Difahamkan, ramai ibu bapa yang bimbang dengan insiden itu bertindak menukarkan anak mereka ke tadika lain.

Susulan kejadian menggemparkan itu, Biro Pendidikan Bao'an telah mengarahkan sekolah itu untuk memohon maaf dan memecat guru besar terbabit serta turut melancarkan siasatan ke atas insiden tersebut. - BBC


tarian tiang, tadika, Xinshahui

Artikel Berikut

Artikel Lain