suria

Lima Maut Tembakan Rambang Di California

LOS ANGELES:  Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh, termasuk suspek, dalam satu insiden tembakan rambang berhampiran sebuah sekolah rendah pada pagi Selasa di Rancho Tehama, sebuah komuniti luar bandar dan kecil di California, kira-kira 194 kilometer di utara Sacramento, lapor agensi berita China Xinhua.

Pembantu Syerif Daerah Tehama, Phil Johnston, dalam satu sidang akhbar petang Selasa berkata tragedi itu berlaku pada kira-kira 8 pagi (1600 GMT) hari yang sama, dan menyebabkan lima orang maut manakala 10 lagi cedera, termasuk dua kanak-kanak.

Menurut akhbar tempatan Redding Record Searchlight, insiden maut itu berpunca daripada keganasan rumah tangga dan suspek telah memandu keluar dari kediamannya selepas satu pergaduhan sebelum melepaskan tembakan ke arah orang ramai di sepanjang jalan.

Johnston mengesahkan kepada pemberita bahawa suspek telah melepaskan tembakan secara rambang sebelum meninggalkan lokasi kejadian.

Suspek turut melepaskan tembakan rambang ke arah sebuah sekolah rendah, yang merupakan tempat ketiga dia berhenti.

Johnston berkata anggota polis yang terdengar bunyi tembakan berhampiran sekolah itu telah bergegas ke sana dan bertindak mengunci bangunan sekolah terbabit.

Penembak itu, yang dikenal pasti akhbar Sacramento Bee sebagai Kevin Janson Neal, 43, gagal memasuki sekolah tersebut dan bertindak melepaskan 20 hingga 30 das tembakan ke arah sekolah berkenaan.

Johnston berkata suspek berada di kawasan sekolah itu selama enam minit sebelum keluar dan melepaskan tembakan rambang ke arah orang ramai, termasuk sebuah pikap dinaiki seorang wanita dan dua kanak-kanak, yang cedera dalam insiden tersebut.

Johnston turut mendedahkan bahawa dua timbalan syerif tiba di lokasi kejadian dan nampak Neal sedang melepaskan tembakan ke arah pikap tersebut.

Mereka kemudian berbalas tembakan dengan suspek sebelum berjaya membunuhnya dalam kereta yang dipandu lelaki itu, di mana mereka menemui sepucuk raifal separa automatik dan dua pistol.

Johnston, yang menyifatkan insiden itu sebagai satu "amukan keterlaluan dan berbahaya," berkata motif tembakan kelihatan "seolah-olah seorang lelaki ingin membalas dendam terhadap jiran-jirannya."

Terdahulu, seorang saksi, Brian Flint, memaklumkan Redding Record Searchlight bahawa suspek adalah seorang penjenayah yang dikenali di kawasan itu dan sering mengganggu beliau serta jiran-jirannya.

Menerusi sebuah klip video yang disiarkan dalam talian, Flint berkata pada pagi hari kejadian, beliau menerima satu panggilan telefon yang memaklumkan bahawa rakan sebiliknya telah dibunuh, traknya dicuri dan jirannya telah dikenal pasti sebagai lelaki yang melepaskan tembakan.

"Perkara yang lebih gila ialah suspek telah didapati melepaskan begitu banyak tembakan menggunakan beratus-ratus peluru dan magazin sejak akhir-akhir ini," kata Flint dalam nada pilu.

"Kami telah menyedari bahawa lelaki ini memang gila dan dia sering mengancam kami."

Terdapat sejumlah 1,485 penduduk yang tinggal dalam komuniti itu dan laporan menyebut kebanyakan mereka memiliki senjata api.- Bernama

Tembakan maut

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Mudah Sangat Terpengaruh...

Artikel Lain