suria

Jururawat Dedah Hajat Manusia Sebelum Mati

-fotoBBC

JURURAWAT Macmillan yang bertanggungjawab menguruskan pesakit kanser telah mendedahkan beberapa perkara yang mahu dilakukan pesakit sebelum mereka meninggal dunia.

Sesetengah pesakit meminta untuk melihat haiwan peliharaan mereka untuk kali terakhir, dan ada juga yang hanya mahukan secawan teh.

Seorang jururawat di Hospital Universiti Royal Stoke, Staffordshire, berkata satu pasangan yang kedua-duanya diberikan penjagaan paliatif meminta katil mereka ditolak seiringan supaya mereka boleh berpegangan tangan.

Kedua-dua mereka kemudiannya mati dalam masa 10 hari.

Kumpulan jururawat ini telah mendedahkan tentang saat-saat terakhir kehidupan pesakit mereka untuk video khas BBC News bertajuk 'Apa yang dilakukan manusia sebelum mati?'.

-fotoBBC

Ramai antara mereka berkata mereka mengambil bahagian dalam video tersebut untuk membuktikan bahawa mendapat 'kematian yang baik' adalah tidak mustahil dan manusia tidak perlu takut untuk menyatakan apa yang mereka hajati.

Jururawat Dani Jervis berkata: "Seseorang daripada mereka pernah berkata 'kehidupan terlalu pendek, buatlah apa yang anda mahu, buat perkara yang membuatkan anda bahagia'," katanya.

Seorang lagi jururawat, Louise Massey, berkata: "Melihat kegembiraan wajah seseorang yang sedang menunggu kematian ketika 'dilawati' anjing peliharaan mereka adalah sesuatu yang tidak ternilai."

Jururawat Jervis menambah: "Saya fikir ada perkara yang boleh membuatkan kematian itu menjadi sesuatu yang baik dan saya rasa komunikasi adalah kuncinya. Jika ada sesuatu yang anda mahu lakukan, lakukan sahaja." -metroUK

kanser, berdepan kematian

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain