suria

Jumlah Jenayah Kebencian Di AS Meningkat

WASHINGTON: Amerika Syarikat telah menyaksikan lebih banyak jenayah kebencian pada 2016 berbanding tahun sebelumnya, namun pakar berkata masalah itu mungkin lebih besar daripada jumlah kes yang didedahkan, lapor agensi berita China Xinhua.

Jumlah jenayah kebencian pada 2016 ialah 6,121, menyaksikan peningkatan sebanyak 4.6 peratus berbanding 5,850 pada 2015, menurut data baharu yang dikeluarkan oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) pada Isnin.

Kesemua insiden jenayah itu, kata laporan tersebut, adalah didorong oleh prasangka terhadap bangsa, etnik, keturunan, agama, orientasi seksual, kecacatan, jantina atau identiti jantina.

Menurut data itu, jumlah jenayah kebencian telah meningkat dalam tempoh dua tahun berturut-turut, dan kebanyakan insiden adalah bersifat "single-bias" iaitu disebabkan oleh prasangka terhadap perkara yang sama.

FBI menjelaskan bahawa mangsa jenayah kebencian mungkin individu, perniagaan, entiti kerajaan, organisasi keagamaan, atau masyarakat secara keseluruhan.

Daripada jumlah jenayah kebencian yang bersifat single-bias pada 2016, hampir 58 peratus adalah disebabkan oleh prasangka terhadap bangsa, etnik atau keturunan manakala 21 peratus disebabkan oleh prasangka terhadap agama dan kira-kira 18 peratus disebabkan oleh orientasi seksual.

Data FBI mendedahkan bahawa lebih separuh insiden yang membabitkan bangsa adalah anti-kulit hitam manakala 20 peratus anti-kulit putih.

Selain itu, lebih separuh daripada jenayah kebencian yang membabitkan agama adalah anti-Yahudi manakala satu perempat adalah anti-Islam.

"Tiada sesiapapun yang harus takut akan diserang hanya disebabkan siapa mereka, apa yang mereka percaya atau cara mereka beribadat," kata Peguam Negara AS Jeff Sessions dalam satu kenyataan selepas statistik itu dikeluarkan.

Laporan FBI itu adalah berdasarkan laporan sukarela oleh lebih 15,000 agensi penguatkuasaan undang-undang tempatan.

Bagaimanapun, sesetengah pihak berkata data FBI itu tidak lengkap kerana hampir 90 bandar dengan populasi lebih 100,000 sama ada dilaporkan sebagai tiada jenayah kebencian sifar atau tidak memberikan data bagi tahun 2016.- Bernama

Keganasan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Doktor Dakwa Tumbuk Jerung

Artikel Lain