suria

Amaran Duterte

Pihak ketenteraan melaksanakan kawalan ketat di sekitar Marawi susulan pertelingkahan yang berlaku dengan pemberontak Muate baru-baru ini.

MANILA: Militan yang masih aktif di Filipina diberi amaran akan dikenakan tindakan tegas apabila undang-undang tentera diisytiharkan di Pulau Mindanao.

Perkara itu diputuskan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte pada Rabu berikutan kegagalan serbuan ke atas kubu pemberontak yang dikaitkan dengan militan Daesh.

Duterte memendekkan lawatannya ke Rusia dan menguatkuasakan undang-undang tentera di pulau yang dihuni 22 juta penduduk itu.

Presiden Filipina itu berkata, jika perlu, undang-undang tentera di pulau itu akan dilaksanakan setahun dan tidak teragak-agak untuk menguatkuasakannya di seluruh negara itu.

Perkembangan itu susulan pertempuran di bandar berpenduduk Islam, Marawi apabila pihak tentera cuba menghapuskan berpuluh-puluh pemberontak Maute.

Bagaimanapun puak pemberontak itu melepaskan diri daripada serbuan tentera dan menguasai jalan raya, jambatan dan bangunan di Marawi.

Kata Duterte, situasi di Mindanao akan menyerupai undang-undang yang dilaksanakan diktator negara itu, Ferdinand Marcos sekitar 1970-an.

“Kepada rakyat negara ini yang pernah merasai undang-undang tentera, ia tidak akan berbeza dengan apa yang dilakukan  Presiden Marcos. Saya akan bertindak keras.

“Kepada semua rakyat, janganlah terlalu takut. Saya dalam perjalanan pulang. Saya akan menangani masalah ini apabila tiba di tanah air,” kata Duterte di dalam pesawat dari Rusia.

Dalam kejadian baru-baru ini, dua askar dan seorang anggota polis terbunuh, manakala 12 cedera di Marawi di mana pejuang Maute menawan beberapa bangunan dan membakar sebuah sekolah, gereja serta penjara. – Reuters


Duterte, Mindanao, Daesh

Artikel Sebelum

Artikel Lain