suria

Rayu Justin Bieber Batal Konsert

LOS ANGELES: Peminat Justin Bieber merayu penyanyi itu membatalkan siri jelajahnya di Britain, susulan insiden serangan bom di konsert Ariana Grande di Manchester.

Bagaimanapun, setakat ini tarikh konsert Bieber di negara itu belum diumumkan.

Rayuan itu dibuat berikutan kebimbangan kejadian berkenaan menyasarkan peminat golongan muda dan remaja.

Bintang remaja kelahiran Kanada itu dijadual mengadakan konsert di Hyde Park, London pada Julai ini tetapi peminat mula membanjiri media sosial bagi mendesak ia dibatalkan atas faktor keselamatan peminat serta penyanyi itu sendiri.

"Batalkan konsert Justin di UK, tolonglah! Kami mahu anda selamat, tolong!" tulis seorang peminat di akaun Instragram milik pengurus Bieber, Scooter Braun.

Braun turut menguruskan Grande, 23, bekas bintang Nickelodeon yang mempunyai ramai peminat dalam kalangan remaja.

Sementara itu, Leanne Murray, 20, yang tinggal di Ireland mempunyai tiket untuk konsert Bieber di Dublin, yang dijadualkan bulan depan.

Bagaimanapun, beliau bercadang untuk menjualnya susulan insiden di Manchester, semalam yang mengorbankan 22 mangsa.

"Saya tidak mahu malam yang saya harap akan menjadi malam hebat berakhir seperti sesuatu yang berlaku malam tadi.

"Ia adalah sesuatu yang amat menakutkan kerana ia boleh berlaku kepada kita dan ia menunjukkan kita tidak dapat menjangka apa yang akan berlaku," kata Murray yang membayar AS$200 (RM859) untuk memiliki dua tiket ke konsert Bieber.

Sementara itu, Reuters gagal mendapatkan maklum balas daripada wakil Bieber mengenai tarikh konsert akan datangnya. - Reuters

Justin Beiber, Britain

Artikel Berikut

Artikel Lain