suria

Tiada Rumah, Tak Bermakna Tiada Hati

Chris Parker

SEORANG gelandangan yang sedang tidur berhampiran Manchester Arena mendedahkan bagaimana 'naluri' telah membawanya membantu mangsa serangan.

Steve Jones memberitahu berita ITV: "Kanak-kanak berlumuran darah, mereka menangis dan menjerit. Paku di tangan dan muka mereka perlu ditarik keluar.

"Hanya kerana saya tak ada tempat tinggal, tak bermakna saya tak ada hati dan saya bukan manusia.

"Saya diperlukan untuk membantu. Saya fikir seseorang akan datang dan membantu saya jika saya memerlukan bantuan. Ia adalah naluri."

Chris Parker, 33, yang juga gelandangan dan mengemis di Manchester Arena ketika serangan turut diangkat sebagai wira selepas memangku seorang wanita yang terkorban.

Ketika suasana huru-hara akibat serangan dan orang ramai mula meninggalkan lokasi, dia pula bergegas untuk membantu mangsa.

Dalam keadaan menangis, Parker menceritakan: "Saya mendengar letupan kuat dan dalam sekelip mata saya melihat cahaya putih, kemudian asap, seterusnya jeritan.

"Ia menyebabkan saya terjatuh, saya kemudian bangun tetapi bukan melarikan diri kerana naluri saya menyuruh saya berlari dan cuba membantu," katanya kepada agensi berita Press Association.

"Ramai yang bergelimpangan.

"Saya lihat seorang budak perempuan... dia tiada kaki. Saya membalutnya dalam sehelai baju-T dan bertanya di mana ibu dan ayahnya. Dia beritahu 'ayah saya di tempat kerja, ibu saya di atas sana".

Parker menganggap ibu budak perempuan itu telah meninggal dunia.

"Saya tidak berhenti menangis."

Parker, yang sering tidur di sekitar Manchester selama kira-kira setahun, kerap pergi ke arena untuk mengemis kerana tempat itu boleh memuatkan 21,000 orang.

Katanya, dia sempat mendekati seorang wanita dan cuba menenangkannya sebelum dia meninggal dunia.

"Dia meninggal dunia di pangkuan saya. Usianya dalam lingkungan 60-an dan dia datang bersama keluarganya," kata Parker.

"Saya tidak berhenti menangis.

"Paling mengejutkan melihat kanak-kanak cedera.

"Saya tidak dapat berdepan dengan jeritan dan baunya. Saya tak suka untuk menyatakannya, tetapi baunya seperti daging yang dibakar," katanya.

Sebuah laman web mengumpul dana telah ditubuhkan dan lebih dari £10,000 (RM55,600) berjaya dikumpul.

Halaman itu dibuka oleh Michael Johns, yang berasa terpanggil untuk membantu 'salah satu golongan yang paling lemah dalam masyarakat yang menunjukkan keberanian dan sifat tidak mementingkan diri".

Johns berkata dia masih tidak dapat berhubung dengan Parker tetapi cuba untuk mengesannya melalui wartawan yang bercakap dengannya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain