suria

Robocop Pertama Dunia Beroperasi Di Dubai

DUBAI: Impian untuk menyaksikan robot polis atau lebih dikenali sebagai Robocop kini semakin menjadi kenyataan apabila teknologi canggih itu bakal diperkenalkan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) tidak lama lagi.

Ini selepas Robocop itu diperkenalkan kepada umum semasa Sidang dan Expo Maklumat Keselamatan Negara Teluk yang berlangsung di Dubai selama tiga hari bermula Ahad lalu.

Robot canggih itu berukuran kira-kira 1.5 meter dan seberat 100 kilogram, dilengkapi dengan kemahiran untuk bertutur dalam enam bahasa selain berkeupayaan membaca riak muka manusia.

Selain itu, robot berkenaan dilengkapi dengan komputer tablet di bahagian dada untuk memudahkan orang ramai membayar denda atau membuat laporan yang akan dihantar ke ibu pejabat polis.

Pengarah Besar Perkhidmatan Pintar Polis Dubai, Khalid Nasser Al Razzouqi berkata, pelancaran operasi Robocop yang pertama di dunia itu merupakan pencapaian besar buat UAE dan menjadi batu loncatan untuk menonjolkan visi Dubai sebagai bandar berteknologi pintar.

"Dengan sasaran untuk membantu orang ramai di jalanan atau pusat beli-belah, Robocop merupakan tambahan terbaharu pasukan keselamatan yang akan membantu menangani kes jenayah, menjadikan bandar lebih selamat dan meningkatkan tahap kegembiraan penduduk.

"Robot itu boleh berbual, berinteraksi, membalas pertanyaan orang awam, berjabat tangan dan memberi tabik hormat," katanya.

Mengikut perancangan, Robocop akan digunakan untuk menggantikan suku daripada jumlah anggota polis bermula tahun 2030.

Robocop, Dubai

Artikel Berikut

Artikel Lain