suria

Moon Jae-in Diumum Presiden Baharu Korea Selatan

AHLI politik liberal Moon Jae-in diumum memenangi pilihan raya presiden Korea Selatan.

Ia merupakan kemenangan yang dijangka dan mengakhiri hampir satu dekad pemerintahan konservatif.

Kemenangan Moon akan mengakhiri berbulan-bulan lamanya kegawatan politik yang membawa kepada pemecatan bekas presiden konservatif, Park Geun-hye ekoran skandal rasuah.

Geun-hye merupakan pemimpin pertama yang dipilih secara demokratik yang dipecat daripada jawatannya, yang membawa kepada pilihan raya bagi memilih penggantinya.

Dalam ucapan kemenangannya dari pentas di dataran utama di Seoul, Moon, bekas peguam hak asasi manusia berusia 64 tahun, yang menyertai politik hanya lima tahun yang lalu, berikrar untuk membawa era baru bagi negara yang teruk dilanda skandal tersebut.

"Saya akan wujudkan sebuah negara yang adil dan bersatu. Saya akan menjadi seorang presiden yang berkhidmat kepada semua rakyat, juga mereka yang tidak menyokong saya."

Dengan 80 peratus undi dikira pada 1705 GMT, Moon mendahului dengan 40 peratus, demikian menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan.

Beliau diikuti oleh seorang pencabar konservatif, bekas pendakwa Hong Joon-pyo, dengan 25.5 peratus dan Ahn Cheol-soo dengan 21.4 peratus. - Reuters

Moon Jae-in, Korea Selatan

Artikel Sebelum

Trump Pecat Pengarah FBI

Artikel Berikut

Artikel Lain