suria

Rusia Sekat WeChat

BEIJING: Pihak berkuasa Rusia telah menyekat aplikasi WeChat yang menyediakan perkhidmatan mesej melibat 889 juta pengguna pada 2016 di seluruh dunia.

Perkara itu dimaklumkan gergasi internet China, Tencent yang mengendalikan aplikasi paling popular itu.

Tencent juga masih berunding dengan Moscow untuk menyelesaikan isu tersebut.

Selain pemesejan, WeChat turut menawarkan pembayaran, pengangkutan dan pelbagai perkhidmatan lain.

Setakat ini, bilangan pengguna WeChat di Rusia masih tidak dapat dipastikan.

“Kami menghadapi sekatan dan kami memohon maaf.

“Undang-undang Rusia menyatakan bahawa pembekal perkhidmatan online wajib berdaftar dengan kerajaan tetapi WeChat mempunyai pemahaman berbeza berhubung peraturan ini,” kata seorang pegawai Tencent di laman blog syarikat berkenaan.

Sementara itu, jurucakap pihak berkuasa telekomunikasi Rusia, Roskomnadzor berkata, aplikasi mesej itu tidak menyerahkan maklumat berkaitan pendaftaran organisasi itu.

“Kami telah menghantar surat kepada iTunes dan Google Play supaya menyekat aplikasi ini (di Rusia). Kami masih menunggu maklum balas.

“Jika arahan ini tidak dipatuhi, kami akan menyekat akses aplikasi WeChat menerusi pembekal perkhidmatan telekomunikasi tempatan,” kata pegawai berkenaan, Vadim Ampelonsky kepada agensi berita RIA-Novosti, Jumaat lalu.

Awal minggu lalu, Roskomnadzor turut mengharamkan aplikasi Blackberry Messenger dan Line atas sebab sama.

Pada 2014, Rusia meluluskan undang-undang mewajibkan perkhidmatan mesej asing, enjin carian internet dan laman sosial supaya menyimpan data peribadi pengguna Rusia di Rusia.

Laman web yang melanggar undang-undang itu akan disenaraihitamkan, manakala pembekal perkhidmatan internet perlu menyekat akses laman berkenaan.

Undang-undang itu dikuatkuasakan pada 2015. Laman sosial golongan profesional, LinkedIn telah disekat kerana didapati melanggar undang-undang tersebut. – AFP


WeChat, Rusia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain