suria

Rusia Cipta 'Terminator' - Mirror

MOSCOW: Rusia dilapor mencipta 'tentera robot' yang dipercayai mempunyai kemampuan untuk menembak menggunakan kedua-dua tangan.

Menurut laporan Mirror, robot android yang dinamakan sebagai FEDOR itu dibangunkan oleh agensi penerokaan angkasa Rusia dengan harapan membina mesin yang berperang.

Kini portal itu melaporkan, robot tersebut sudah lengkap dicipta dan sedang dilatih untuk mengendalikan senjata.

Rakaman aksi robot itu juga tersebar dalam internet tetapi kerajaan Rusia menafikan mereka mencipta robot yang memiliki peranan seperti watak mesin pembunuh dalam filem Terminator.

Robot dalam filem itu yang juga dinamakan sebagai Terminator berkeupayaan untuk berperang dan menjalankan misi rahsia.

Mirror menambah, robot FEDOR mempunyai ketinggian 1.8 meter dengan berat antara 106 hingga 160 kilogram bergantung kepada jenis peralatan yang dibawa selain boleh mengangkat kargo seberat 20 kilogram.

Pihak yang mencipta robot itu dipercayai cuba mengasah teknik tembakan mesin tersebut serta membuat keputusan yang tepat.

Dalam satu rakaman lain, Timbalan Perdana Menteri Rusia, Dmitryi Rogozin turut menyatakan keupayaan yang mampu ditonjolkan oleh robot tersebut.

"Robot FEDOR boleh menembak menggunakan kedua-dua tangannya.

"Kami bukan mencipta Terminator (robot pemusnah) tetapi mesin pintar yang boleh dikerah untuk melaksanakan pelbagai misi," katanya.

Menurut perancangan agensi Rusia itu, robot FEDOR akan digunakan untuk melaksanakan misi angkasa pada 2021 bagi menggantikan tugas angkasawan terumatanya tugas penyelenggaraan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Rusia, Terminator

Artikel Lain