suria

Bunga, Bendera Putih Tanda Penduduk Mosul Bebas Cengkaman Daesh

Wajah kegembiraan penduduk Mosul selepas pasukan tentera berjaya mengusir militan Daesh dari bandar itu.

MOSUL: Penduduk bandar ini bukan sahaja mengibarkan bendera putih, malah memberi bunga kepada anggota tentera sebagai tanda penghargaan kerana bebas daripada militan Daesh.

Kibaran bendera putih juga bagi meraikan tentera Iraq yang berjaya mengusir kumpulan militan Daesh dari kawasan kejiranan Al-Khadraa di timur Mosul pada Ahad.

“Kami mengibarkan bendera putih bagi menunjukkan kepada pasukan tentera bahawa keadaan telah aman,” kata seorang peniaga, Abu Mohammad, seorang lelaki berusia 70-an yang berdiri di luar kedainya.

Tentera Iraq melancarkan serangan besar-besaran pada 17 Oktober lalu untuk menawan Mosul yang juga bandar kedua terbesar negara itu.

Pada 2014, Ketua Daesh, Abu Bakr al-Baghdadi mengisytiharkan pemerintahan khalifah di lokasi sama.

Sabtu lalu, tentera Iraq berjaya memaksa kumpulan militan itu meninggalkan Al-Khadraa selepas beberapa hari berlakunya pertempuran sengit.

Abu Mohammad berkata, penduduk yang berterima kasih kepada anggota tentera turut memberi bunga sebagai tanda penghargaan dan segera membuka semula kedai mereka.

“Kami kini sudah bebas daripada militan,” katanya.

Bagaimanapun, bunyi tembakan dan letupan masih boleh didengari pada jarak jauh dan tentera Iraq berkata, mereka masih memburu militan tegar yang mungkin bersembunyi di kawasan tersebut.

“Ada penduduk yang bekerjasama dengan kami,” kata Lef­tenan Nasser al-Ruqabi daripada Perkhidmatan Antikeganasan (CTS).

Menurut Nasser, CTS mula bekerjasama dengan mereka pada Ahad lalu untuk mengenal pasti adakah militan yang terlepas dan menentukan jalan mana yang mungkin dilalui mereka. – AFP


Daesh, Mosul, Al-Khadraa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain