suria

Polis Tahan Dua Lelaki Bantu Siasatan Kes Bunuh Rakyat Malaysia

JAKARTA: Polis di Medan pada Sabtu telah menahan dua lelaki rakyat tempatan bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang rakyat Malaysia di Serdang Bedagai, kira-kira 40 kilometer dari Kota Medan dua minggu lepas.

Media-media dalam talian hari ini memetik Ketua Polis Serdang Bedagai Eko Suprihanto sebagai berkata, kedua-dua lelaki terbabit ditahan di sekitar daerah Batubara, kira-kira 140 kilometer dari kota Medan.

"Kita telah menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang warganegara Malaysia, Mohamad Ladzim Abdullah, dan mereka didapati mempunyai hubungan perniagaan," katanya.

Hasil siasatan awal mendapati Mohamad Ladzim, 65, mati akibat dicekik dengan tali pinggang dalam sebuah van milik seorang daripada suspek dan mayatnya dibuang di tepi longkang di sebuah kawasan pendalaman di Desa Liberia, Teluk Mengkudu di Serdang Bedagai.

Pada 16 November lepas, polis menemui mayat Mohamad Ladzim tanpa dokumen peribadi tetapi identiti mayat akhirnya dikesan melalui cebisan tiket Penerbangan Malaysia yang ditemui dalam poket seluar mangsa.

Polis mendapatkan kerjasama Konsulat Jeneral Malaysia di Medan dan Allahyarham yang berasal dari Selangor disahkan memasuki kota Medan menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu pada 14 November. 

Eko berkata, kedua-dua lelaki berusia 41 dan 25 tahun terbabit akan disiasat di bawah Pasal 338 Kanun Undang-undang Hukum Pidana dan jika bersabit kesalahan boleh dihukum maksimum 15 tahun penjara.-- Bernama


Artikel Berikut

Artikel Lain