suria

Stesen Janakuasa Runtuh, 40 Maut

Foto yang disiarkan Agensi Berita Xinhua menunjukkan anggota penyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa yang terperangkap dalam runtuhan stesen janakuasa di Fengcheng, wilayah Jiangxi pada 24 November 2016. - AP

BEIJING: Sekurang-kurangya 40 orang terbunuh apabila sebuah stesen janakuasa yang dalam pembinaan, runtuh pada Khamis, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap tahap keselamatan dalam sektor pembinaan di negara itu.

Menurut laporan agensi berita Xinhua, struktur menara penyejuk itu runtuh pada awal pagi, menyebabkan sejumlah mangsa yang tidak diketahui jumlahnya terperangkap.

Berdasarkan imej yang dirakamkan dari lokasi kejadian di Fengcheng, wilayah tengah Jiangxi, menunjukkan runtuhan konkrit, besi dan serpihan bangunan bertaburan di kawasan tapak pembinaan tersebut.

Usaha menyelamat masih lagi diteruskan melibatkan 32 buah jentera bomba dan 212 anggota tentera untuk mencari mangsa yang terselamat.

Setakat ini, seramai 40 orang disahkan terbunuh dan jumlah itu dijangka meningkat kerana dipercayai masih ramai mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan tersebut.

Lima pekerja binaan yang cedera kini dirawat di hospital berdekatan dan punca sebenar kejadian masih lagi belum diketahui.

Berdasarkan laporan portal China Jiangxi Online, seramai 68 orang berada di lokasi kejadian ketika runtuhan berlaku.

Pembinaan dua stesen penjanakuasa 1,000 megawat itu dimulakan sejak Julai lalu dan dijangka siap pada awal 2018 dengan melibatkan kos bernilai 7.67 bilion yuan (RM4.9 bilion).

Runtuhan

Artikel Berikut

Artikel Lain