suria

Rakyat India Bimbang Tak Cukup Rupee

NEW DELHI: Keputusan mengejut kerajaan India menarik balik dua wang kertas denominasi terbesarnya daripada edaran mengakibatkan berjuta-juta rakyatnya dan warga asing kehabisan wang tunai itu.

Dua hari lalu, Perdana Menteri Narendra Modi mengumumkan wang kertas denominasi 500 (RM32)dan 1,000 rupee (RM64) tidak lagi sah diperlakukan dalam usaha mengekang jenayah mengelak cukai dan rasuah.

Langkah itu mendorong orang ramai berpusu-pusu mengeluarkan wang kertas denominasi kecil sebelum mesin pengeluaran wang automatik (ATM) ditutup pada tengah malam bagi perbelanjaan harian.

Bagaimanapun, berjuta-juta orang tidak sempat mengeluarkan wang dan terkandas tanpa wang tunai.

Keadaan bagaimanapun beransur pulih pada Khamis apabila bank di India dibuka semula dengan orang ramai beratur panjang untuk menukar wang kertas lama mereka atau mengeluarkan wang.

Beberapa bank di New Delhi turut menerima wang kertas baharu 2,000 rupee (RM128) dengan sebahagian mesin ATM kembali beroperasi.

“Saya ke sini untuk memeriksa jika boleh menukar wang kertas lama untuk wang baharu walaupun saya tidak mempunyai akaun dengan bank.

“Kami bimbang akan timbul masalah ketika mahu membeli barangan harian dalam masa beberapa hari akan datang kerana kebanyakan orang kekurangan wang kecil atau wang kertas baharu,” kata seorang vendor akhbar, R.P Singh.

Kerajaan India mengumumkan orang ramai boleh menukar wang kertas lama untuk wang baharu atau mendepositnya ke  akaun masing-masing mulai Khamis.

Individu yang akaunnya mempunyai banyak wang secara tiba-tiba akan disiasat pihak berkuasa percukaian.

Bilangan bank di seluruh India terutamanya di luar bandar yang menerima wang kertas 2,000 rupee baharu itu masih tidak jelas.

Wang kertas 500 dan 1,000 rupee reka bentuk baharu akan diagihkan kemudian.

Selain itu, langkah penarikan semula itu hanya akan menjejaskan mereka yang mengelak daripada cukai.

Awal tahun ini, kerajaan India melaksanakan program pengampunan cukai selama empat bulan yang menyaksikan rakyat negara itu mengisytiharkan kekayaan tersembunyi berjumlah AS$10 bilion (RM42 bilion).

Namun, skim itu berakhir bulan lalu dan sesiapa yang mendeposit wang tunai dalam jumlah besar mungkin terpaksa membayar cukai tertunggak sehingga 200 peratus. – AFP


Rupee, Narendra Modi, India

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain