suria

Lima Suri Rumah Ditahan Ketika Berpesta Dadah

- Gambar hiasan
JAKARTA: Aktiviti tersembunyi beberapa suri rumah yang sering berkumpul di dalam sebuah rumah sewa di daerah Tambakreja, Cilacap di Jawa Tengah akhirnya terbongkar apabila mereka ditahan ketika asyik berpesta dadah.

Media dalam talian memetik Ketua Pasukan Khas Dadah Polis Cilacap, Sumanto sebagai berkata dalam serbuan pada pukul 7.30 malam itu, kelima-lima wanita berstatus suri rumah berkenaan sedang khayal mengambil dadah.

Katanya, polis turut merampas dua bungkusan plastik berisi dadah jenis sabu seberat 2.5 gram, satu set peralatan hisap dadah yang diperbuat daripada botol minuman, satu alat timbang dan wang tunai berjumlah Rp1 juta (kira-kira RM300).

"Bertindak atas maklumat, polis telah membuat intipan selama sebulan sebelum menyerbu sebuah rumah sewa yang dipercayai dijadikan sebagai pusat pesta dadah bagi golongan kaum wanita," katanya.

Menurutnya, kelima-lima suri rumah berkenaan berumur antara 26 dan 40 tahun berasal dari beberapa wilayah luar Cilacap termasuk Jakarta dan Bogor.

Beliau berkata polis sebelum itu menerima maklumat masyarakat mengenai kejadian pesta dadah di sebuah rumah sewa dan menahan seorang wanita minggu lepas.

Polis kemudian membuat intipan selama sebulan sebelum menahan lima wanita terbabit yang kerap datang untuk bertemu dan menghisap dadah secara beramai-ramai.

Hasil ujian air kencing mendapati kelima-lima wanita positif dadah jenis ampethamin dan mereka didakwa mengikut Undang-undang Penggunaan Dadah yang membawa hukuman lima tahun penjara.

Katanya polis masih menjalankan siasatan mengenai bekalan dadah yang mereka perolehi dan percaya sindiket berkenaan dapat ditumpaskan di daerah itu tidak lama lagi.

Sumanto, pesta dadah, suri rumah

Artikel Lain