suria

Akihito Mahu Lepas Takhta

TOKYO: Faktor usia yang semakin lanjut mendorong Maharaja Jepun, Akihito menyampaikan hasrat untuk melepaskan takhta kerana sukar melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan negara itu.

Kenyataan maharaja berusia 82 tahun itu sekali gus membuka laluan untuk proses penurunan takhta bersejarah di Jepun.

“Kita berada dalam masyarakat yang semakin hari semakin tua, ada masanya saya rasa kekuatan fizikal saya sudah lemah.

"Saya ingin sampaikan mengenai apakah yang sepatutnya dilakukan oleh seorang maharaja apabila tiba saatnya dia sudah lanjut usia,” kata Akihito dalam ucapan yang disiarkan televisyen negara itu.

Spekulasi mengenai masa depan Akihito timbul bulan lalu dengan laporan menyatakan, beliau memberitahu beberapa orang terdekat tentang hasratnya untuk melepaskan takhta dalam masa beberapa tahun lagi.

Sekiranya berlaku, ia merupakan kali pertama seorang maharaja turun takhta di Jepun sejak dua abad lalu.

Ucapan itu adalah yang kedua oleh Akihito kepada rakyat Jepun. Ucapan pertama dibuat beberapa hari selepas gempa bumi, tsunami dan bencana nuklear pada Mac 2011.

Akihito tidak menyebut perkataan turun takhta tetapi penganalisis-penganalisis berkata, hasratnya adalah jelas.

Ucapan Akihito itu membolehkan kerajaan Jepun mewujudkan mekanisme yang diperlukan bagi seorang maharaja melepaskan takhta.

Di bawah sistem monarki sedia ada, maharaja Jepun hanya diganti selepas kematiannya. Sistem monarki Jepun mempunyai susur galur tertua di dunia dan berusia 2,600 tahun.

Anak sulung Akihito, Putera Mahkota Naruhito, 56, disebut-sebut akan menggantikan bapanya. – AFP





Akihito, Maharaja Jepun

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain