suria

Juruterbang Taikun F1 Ditahan Disyaki Dalang Culik Ibu Mertua

Aparecida Schunck Flosi Palmeira, ibu mertua kepada taikun Formula 1, Bernie Ecclestone ketika meninggalkan balai polis di Sao Paolo, Isnin. -fotoREUTERS
SAO PAOLO: Polis Brazil, pada Isnin menahan juruterbang helikopter yang bekerja untuk keluarga taikun Formula 1, Bernie Ecclestone, kerana didakwa menjadi dalang penculikan ibu mertua jutawan British itu baru-baru ini, menurut pegawai.

Penahanan itu dibuat selepas polis menyelamatkan Aparecida Schunck Flosi Palmeira, 67, ibu kepada isteri Ecclestone, Fabiana Flosi pada malam Ahad yang diculik lebih dari seminggu.

Juruterbang terbabit, Jorge Eurico da Silva Faria 'merancang penculikan itu dan tahu rutin mereka' menurut perkhidmatan keselamatan negeri Sao Paulo.

Turut dinyatakan bahawa juruterbang itu bekerja untuk keluarga Ecclestone.

Laporan berita Brazil berkata dia juga telah bekerja untuk Ecclestone secara peribadi.

Schunck, yang diculik pada 22 Julai, telah diselamatkan oleh pihak polis dalam serbuan besar-besaran pada waktu malam di bandar Cotia, di kawasan Sao Paulo.

Dua suspek ditahan serta-merta di tempat kejadian, Ahad.

Schunck tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi menggigil selepas lebih dari seminggu berada dalam kurungan.

Beliau sempat bercakap secara ringkas di depan kamera sebaik tiba di balai polis selepas dibebaskan, sebelum memeluk saudara-mara yang menunggu.

"Tiada siapa yang patut menculik sesiapa yang lain di Sao Paulo kerana mereka akan ditangkap," katanya dalam nada yang beremosi.

Penculik telah menuntut wang tebusan berjumlah $36.6 juta daripada keluarga, menurut majalah berita mingguan, Veja.

Tetapi tidak ada wang tebusan dibayar, menurut gabenor dan sumber polis.

Penculik terbabit telah menyamar sebagai budak penghantar dan menculik Schunck dari rumahnya di kawasan Jardin Santa Helena, Sao Paulo, kata jirannya kepada AFP minggu lepas.

Sumber polis berkata, penyiasat berjaya mengenal pasti kereta penculik menerusi rakaman kamera keselamatan dan mengesan rumah di mana dia telah ditahan.

Kediaman Schunck terletak dalam kawasan kejiranan Interlagos selatan, yang menjadi tuan rumah litar Grand Prix F1 Brazil.

Sebelum anak perempuannya berkahwin dengan Ecclestone, dia tinggal di kawasan kejiranan miskin di Santa Francisca Cabrini.

Flosi, seorang peguam Brazil berusia 38 tahun, bertemu dengan Ecclestone, 85, ketika dia bekerja untuk Grand Prix Interlagos pada 2009.

Pasangan itu berkahwin di Switzerland dan kini tinggal di London.

Artikel Lain