suria

Fiji:42 Korban Taufan Winston, 34,000 Sehelai Sepinggang

SUVA: Bantuan kemanusiaan mulai tiba di Fiji yang dibadai taufan Winston hujung minggu lalu dengan 42 maut setakat ini.

Bekalan makanan dan barang keperluan harian mulai diagihkan menggunakan pelbagai kaedah sama ada menggunakan bot atau jalan udara untuk ke Pulau Koro dan Lomaiviti yang terletak di kepulauan Pasifik itu.

Bencana alam paling buruk dalam sejarah negara itu juga menyaksikan lebih 34,000 penduduk masih ditempatkan di pusat perpindahan.

Ketika bantuan antarabangsa dipertingkatkan, termasuk New Zealand yang menghantar dua kapal tentera laut, pasukan penyelamat masih belum tiba ke beberapa kawasan terpencil yang teruk terjejas akibat bencana itu.

"Seramai 42 penduduk Fiji disahkan mati berbanding 29 sebelum ini dan pihak berkuasa bencana terus mengerahkan pasukannya untuk membantu mereka yang terjejas di seluruh Fiji," kata jurucakap kerajaan Dan Gavidi dalam laman Twitter.

Pertubuhan Palang Merah berkata, jumlah korban dijangka meningkat berikutan banyak lagi kawasan di pedalaman yang belum ditinjau.

Sementara itu, Care Australia berkata, jumlah penduduk yang kehilangan tempat tinggal kini mencecah 34,000, berbanding 8,500 dua hari lalu.

Taufan Winston membadai negara Pasifik itu, Sabtu lalu, dengan kelajuan angin 325 kilometer sejam dan mengakibatkan kemusnahan teruk. - AFP


Fiji, Winston, Suva

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain