suria

Muslim AS Boikot Majlis Iftar Rumah Putih

Walaupun ada pihak yang memboikot majlis iftar Rumah Putih, tetapi masih ada umat Islam yang menghadirinya untuk berinteraksi dengan Obama.
KUMPULAN Muslim Amerika Syarikat (AS) dan individu beragama Islam di negara itu memulaukan majlis berbuka puasa anjuran Presiden Barack Obama sebagai bantahan terhadap dasar anti-Islam Rumah Putih.


Sebaliknya, sejumlah besar Muslim menyertai protes di luar Rumah Putih dengan mengecam polisi kerajaan semasa.

Media AS melaporkan, jemputan Rumah Putih untuk menyertai majlis berbuka puasa itu ditolak kerana mendapati dasar kerajaan terhadap Islam dan umatnya semakin hari dilihat kian membimbangkan.

Laporan menyatakan, lebih 100 aktivis dan pemimpin Islam turut menandatangani surat terbuka menyatakan mengapa mereka menganggap tindakan memboikot acara itu wajar diambil.

Sebahagian umat Islam yang memboikot majlis iftar itu menunaikan solat di luar Rumah Putih.


Bagaimanapun segelintir pemimpin Islam AS tetap menghadiri majlis berkenaan kelmarin.

Sebelum ini, Rumah Putih memang mengadakan majlis berbuka puasa bagi memberi ruang kepada Obama dan pemimpin Muslim AS berinteraksi secara langsung, selain cuba menjalin persefahaman lebih erat.

Media dalam talian melaporkan, pemimpin Muslim berpendapat majlis berbuka puasa kali ini tidak lebih daripada cubaan kerajaan AS membersihkan imej mereka yang gagal membela Islam dan umatnya di negara itu.

Lebih penting, kata mereka, pemulauan itu dibuat sebagai mesej kepada Rumah Putih terhadap sokongan diberi Washington kepada keganasan Israel ke atas Gaza ketika ini.

Lebih 200 orang terbunuh sejak rejim Zionis Israel melancarkan serangan ke atas Gaza beberapa hari lalu dengan kebanyakan korban terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

Turut mendapat perhatian pemimpin serta aktivis Islam AS ialah penahanan berterusan suspek militan di penjara Teluk Guantanamo.

Seorang daripada penganjur boikot itu, Ramah Kudaimi berkata, alasan utama mereka memulaukan jemputan Obama kerana menganggap majlis berkenaan digunakan Rumah Putih sebagai bahan publisiti mengaburi tindakan mereka melakukan jenayah ke atas umat Islam.

“Fokus bantahan kami ialah nasib tahanan di Guantanamo serta menyedari ketika majlis berbuka puasa tahun lepas, tahanan di sana dipaksa makan ketika mereka melakukan mogok lapar," katanya.

Jawatankuasa Antidiskriminasi Arab Amerika pula berkata, mereka tidak menghadiri majlis itu dan menggesa Muslim lain turut menyertai langkah itu.

“Ia sebagai bantahan terhadap sokongan Washington kepada pembunuhan berterusan umat Palestin di Gaza ketika ini, serta aktiviti pengintipan berterusan kerajaan ke atas penganut Islam di AS,” kata pertubuhan itu.

iftar, boikot, Rumah Putih

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain