suria

Rusia Beri Amaran Perang Saudara Akan Meletus Di Ukraine

MOSCOW: Rusia pada Isnin memberi amaran yang perang saudara mungkin akan meletus di Ukraine seandainya kerajaan pusat Ukraine menggunakan kekerasan di wilayah timurnya yang semakin bergolak.

Sebahagian besar bandar di wilayah timur Ukraine telah diambil alih oleh kumpulan militia yang pro-Rusia.

"Kami menyeru agar kerajaan pusat Ukraine tidak menggunakan sebarang tindakan ketenteraan ke atas wilayah-wilayah ini yang mungkin boleh mencetuskan perang saudara," kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Rusia pada Selasa.

Amaran itu dikeluarkan pada saat aktivis yang pro-Rusia merampas bangunan-bangunan milik kerajaan di bandar-bandar Kharkiv, Lugansk dan Donetsk yang terletak di wilayah timur Ukraine.

Kumpulan yang merampas bangunan-bangunan utama kerajaan ini turut mengisytiharkan kemerdekaan dan berikrar akan mengikuti jejak langkah semenanjung Crimea dengan menyertai Rusia.

Kiev menuduh Rusia sebagai dalang di sebalik kekacauan ini dan menghasut penduduk yang berasal dari etnik Rusia supaya memberontak dan mengikuti jejak langkah saudara mara mereka di Crimea dalam menyertai Republik Rusia.

Dalam perkembangan berkaitan, Washington DC turut memberi amaran kepada Kremlin supaya menghentikan tindak-tanduk mereka mengoncang kestabilan Ukraine.

Kementerian Luar Rusia berkata yang mereka memperolehi maklumat Ukraine telah menghantar pasukan keselamatan dalam negeri untuk menawan semula kawasan-kawasan yang memberontak termasuk Donetsk.

Malah Rusia mendakwa yang Ukraine telah mengupah sebuah syarikat keselamatan swasta dari Amerika untuk bergerak bersama-sama pasukannya ke kawasan-kawasan terjejas.

Ukraine, Rusia, Crimea

Artikel Lain