suria

Tamil Nadu Mahu Percepat Projek Monorel

NEW DELHI: Negeri India selatan, Tamil Nadu, mahu mempercepatkan projek monorel yang telah lama tertunda di Chennai, yang masih belum menyelesaikan proses tender.

Projek itu diumumkan pada 2006 dan rancangan itu dimulakan semula pada 2011.

Deccan Chronicle, memetik sumber, melaporkan Ketua Menteri J. Jayalalithaa bimbang mengenai projek yang amat diperlukan itu dan telah mengarahkan pegawai untuk mempercepatkan proses penganugerahan tender.

"Beliau mahu menyelesaikan halangan yang melewatkan projek Rs8,500 crore untuk membolehkan projek pengangkutan mega itu bermula," kata English Daily, juga memetik sumber yang tidak mahu dinamakan.

Arahan itu dikeluarkan pada satu mesyuarat dengan pegawai kanan untuk menyelesaikan masalah tertunggak yang menyebabkan projek itu tertangguh.

Laporan itu berkata, projek itu menghadapi masalah berikutan kelewatan yang dikatakan berpunca daripada jawatankuasa yang diberi kuasa (EC), untuk memberi kelulusan permintaan akhir untuk dokumen usul (RFP) yang harus diberikan kepada lima konsortium terpilih pada Oktober 2012.

Konsortium IL&FS Transportation Network Ltd-Scomi Engineering Bhd adalah antara lima yang disenarai pendek untuk melaksanakan projek monorel sepanjang 57 km yang dijangka bernilai RM6 bilion.

Projek monorel itu adalah fasa pertama bagi projek monorel 111km yang dilancarkan dalam usaha untuk meningkatkan pengangkutan awam di bandar raya itu. - BERNAMA

Artikel Lain