suria

Tun Mahathir Cadang Rakyat Dunia Tidak Pilih Kerajaan Yang Sokong Peperangan

YOGYAKARTA: Bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan supaya rakyat negara di dunia tidak memilih kerajaan yang menyokong peperangan sebagai usaha mewujudkan keadaan yang lebih damai. Dr Mahathir yang juga Presiden Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) berkata mereka sebaliknya boleh memilih tokoh yang memberi akuan untuk mengiktiraf perang sebagai jenayah jika partinya membentuk kerajaan.

Perubahan yang dibuat melalui kuasa undi rakyat ini akhirnya boleh mewujudkan negara yang tidak lagi menggunakan peperangan sebagai penyelesaian dalam sesuatu konflik, kata Dr Mahathir.

"Calon-calon untuk pemilihan menjadi pemerintah, hanya mereka yang membuat akuan akan tidak berperang atau menentang peperangan, atau menjadikan perang sebagai satu jenayah. Hanya mereka yang akan disokong.

"Dengan itu, negara-negara (di dunia) akan mempunyai pemimpin yang bersetuju untuk menolak peperangan," katanya pada majlis dialog dengan pelajar Universiti Muhammadiyah Yogyakarta di sini, Selasa. Dialog itu diadakan selepas beliau menyampaikan syarahan ilmiah bertajuk 'Kedamaian Sejagat dan Kriminalisasi Perang: Inisiatif Serantau' sempena kempen 'Perang Adalah Jenayah' oleh PGPF di universiti itu.

Program pertama seumpamanya itu, antara lain merupakan usaha meluaskan kempen 'Perang Adalah Jenayah' dan turut diisi dengan pameran perang di kampus induk universiti berkenaan.

Pada majlis itu, Dr Mahathir mengajak pertubuhan Muhammadiyah yang merupakan antara pertubuhan Islam terbesar di Indonesia serta generasi muda Indonesia untuk bersama menggembleng tenaga dengan PGPF ke arah menjadikan dunia bebas daripada jenayah perang.

Pameran itu bertujuan memperlihatkan kesan buruk peperangan terhadap nilai kemanusiaan sejak perang dunia pertama hingga kini. Kempen berkenaan yang digerakkan PGPF sejak 2005 mula diperluaskan ke Indonesia, sebuah negara yang dihuni penduduk Islam teramai di dunia.

Sementara itu, Ketua Umum Muhammadiyah Dr Din Syamsudin turut memberi komitmen bahawa pertubuhan itu akan menyokong PGPF bagi memastikan kedamaian sejagat dapat dikekalkan.

"Perang bukanlah penyelesaian. Perang hanya mengakibatkan ketiadaan damai. Maka dengan itu gerakan anti perang ini perlu kita dukung dan kita lakukan secara bersama-sama," kata Dr Din. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

30 Maut Pertempuran Di Turki

Artikel Lain