suria

50 Peratus Gadis Dan Wanita Di Negara Membangun Terima Amalan Pukul Isteri

NEW DELHI: Dalam era moden dan perjuangan menuntut hak sama rata antara lelaki dan wanita, satu laporan mendedahkan hampir 50 peratus gadis dan wanita berumur 19-49 di negara-negara membangun percaya perbuatan memukul isteri adalah wajar dalam keadaan tertentu.

Laporan yang dikeluarkan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) pada Rabu, mendapati kadar peratusan adalah sama, tanpa mengira responden dalam kaji selidik itu adalah wanita tua atau muda; iaitu gadis berumur 15-19 tahun memberikan pandangan serupa dengan wanita berumur 45-49 tahun.

"Data menunjukkan peratusan besar remaja lelaki berumur 15-19 tahun juga mewajarkan perbuatan itu dalam keadaan tertentu," kata UNICEF.

Laporan bertajuk "Progress for Children: A report card on adolescents" itu berdasarkan data dikumpul dari 74 negara dan membabitkan 69 peratus populasi wanita dalam kumpulan umur 15-49 tahun di negara membangun, tidak termasuk China.

Di banyak tempat, perkahwinan kanak-kanak, hubungan berdasarkan kuasa gender, status ekonomi wanita yang lebih rendah dan amalan tradisional atau sosial mendorong amalan itu, yang telah menjadi pegangan hidup dan sukar untuk dihapuskan, menurutnya.

"Sikap masyarakat yang menerima atau mewajarkan keganasan rumahtangga mungkin menjadikan gadis atau wanita lebih terdedah untuk menjadi mangsa," kata UNICEF.

Di India, 57 peratus lelaki dan 53 peratus berpendapat perbuatan memukul isteri adalah wajar.

Antara 74 negara yang terbabit dalam kaji selidik itu, wanita dari Jordan mencatatkan peratusan tertinggi dalam berkongsi pandangan yang sama iaitu sebanyak 91 peratus, manakala peratusan tertinggi lelaki yang mempunyai pandangan sama dilaporkan di Kepulauan Solomon, sebanyak 73 peratus.

UNICEF, bagaimanapun menyatakan "justifikasi atau wajar" tidak semestinya ditakrifkan sebagai penerimaan terhadap perbuatan memukul isteri, juga tidak menunjukkan bahawa wanita atau gadis terdedah menjadi mangsa keganasan rumahtangga.

Sebaliknya, ia mencerminkan pandangan masyarakat yang menerima amalan seumpama itu dalam situasi di mana wanita dan gadis mempunyai status lebih rendah atau apabila mereka tidak memenuhi peranan gender tertentu seperti yang diharapkan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain