suria

Rusia Raikan Ulang Tahun Manusia Pertama Ke Angkasa Lepas

MOSCOW: Rusia pada Selasa meraikan kejayaan mereka menjadi bangsa yang pertama menghantar manusia ke angkasa lepas iaitu pada 12 April 1961.

Yuri Gagarin telah mencipta sejarah peradaban manusia apabila berjaya menjadi manusia pertama sampai ke angkasa lepas sekaligus meletakkan kehebatan sains dan teknologi negaranya di tempat paling atas.

Kejayaan itu masih dianggap sebagai saat paling bermakna untuk bangsa Rusia dan juga Kesatuan Soviet serta komunisma.

Sementara televisyen-televisyen Rusia dengan bangganya menayangkan semula saat-saat bersejarah wajah Yuri Gagarin mencecah ruang angkasa lepas, Presiden Dmitry Medvedev menyifatkan penerbangan itu ibarat satu peristiwa yang telah mengubah lanskap sains dan teknologi dunia.

Pada jam 9.07 pagi waktu Moscow, 12 April 1961, Gagarin telah melafazkan kata-kata keramat "Mari kita pergi..." pada saat percikan api roket Vostok melucur bersamanya ke langit, dari stesen angkasa Republik Kazakhstan yang ketika itu masih merupakan salah sebuah wilayah di dalam Kesatuan Soviet.

Selepas 108 minit di angkasa lepas, anak tukang kayu berusia 27 tahun itu, kapsul kapal angkasa Vostok mendarat di padang rumput wilayah Saratov di tengah-tengah Rusia dengan selamat.

Dari saat itu, kehidupan peribadinya tidak sama lagi.Yuri Gagarin meninggal dunia dalam situasi penuh misteri apabila pesawat yang dipandunya terhempas di luar bandar Moscow pada tahun 1968.

Kejayaan Rusia menghantar manusia ke ruang angkasa merupakan satu kemenangan propaganda Kesatuan Soviet ke atas Amerika Syarikat yang sentiasa berlumba dengan Rusia untuk menguasai angkasa lepas.

Bagaimanapun pada tahun 1969, tiba giliran Amerika pula untuk mendabik dada dengan menghantar manusia yang pertama menjejakkan kaki ke bulan.

Berbeza dengan era perang dingin di tahun-tahun 1960-an kini, eksplorasi angkasa lepas lebih merupakan satu kerjasama antarabangsa sebagaimana yang dapat disaksikan di dalam pembanguna stesen angkasa lepas ISS.

Tahun ini menyaksikan giliran Rusia untuk mengambil pertanggungjawaban penuh menghantar dan membawa pulang para angkasawan di ISS.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain