suria

Syarikat Penerbangan Australia Boleh Lumpuh Jika Pekerja Lancar Mogok

SYDNEY: Syarikat penerbangan Australia, Qantas kemungkinan berhadapan dengan krisis sekiranya beribu warga kerjanya melancarkan mogok melainkan syarikat itu menghadkan pengambilan pekerja kontrak bergaji rendah dan menaikkan gaji kakitangan tetap sekarang.

Qantas mempunyai lebih 9,000 pekerja dan kakitangan termasuklah juruterbang, juruteknik, staf bagasi dan pengangkutan serta jurutera penerbangan.

Setiausah Kesatuan Sekerja Pengangkutan Persekutuan, Tony Sheldon dipetik sebagai berkata, seluruh kakitangan Qantas kini hanya menunggu apakah keputusan pihak syarikat berhubung isu berkenaan dan hanya menanti mereka menawarkan rundingan.

"Malangnya, jawapan ringkas yang kita perolehi ialah mereka (Qantas) tidak bersedia untuk berunding dengan pihak kesatuan.

"Jika itulah keputusannya, maka apa yang boleh saya katakan ialah, mereka (Qantas) hanya akan menyaksikan satu tindakan sahaja iaitu tindakan perusahaan (mogok)," ujarnya.

Pada asasnya, kakitangan Qantas menuntut empat peratus kenaikkan gaji dan dan jaminan pekerjaan yang lebih baik.

Ugutan mogok ini muncul di saat-saat Qantas berhadapan dengan tekanan kenaikan harga minyak dan impak daripada malapetaka yang melanda Jepun, New Zealand dan dari dalam negara mereka sendiri.

Dalam pada itu, jurucakap Qantas berkata, mereka berasa kecewa ugutan mogok itu dilakukan pada ketika syarikat berkenaan belum pun mengadakan rundingan dengan pihak kesatuan.

"Qantas belum pun lagi memulakan rundingan tentang kenaikan gaji dengan pihak kesatuan kerana perjanjian lama hanya akan tamat pada Julai depan jadi ugutan ini amat nyata sekali bersifat mahu mendapatkan perhatian media," kata Qantas dalam satu jawapan bertulis yang dikirim melalui e-mel kepada agensi berita AFP.

Bulan lepas, Qantas telah mencatatkan keuntungan bersih separuh tahun berjumlah Aus$241 juta.

Qantas menggaji 35,000 kakitangan dan dari jumlah itu, hanya lebih kurang 9,000 sahaja yang layak diwakili oleh kesatuan.

Artikel Lain