suria

Uzbekistan Siap Sedia Untuk Adakan Pilihan Raya Parlimen

TASHKENT: Apabila Uzbekistan mengadakan pilihan raya parlimennya Ahad ini, lebih 200 pemerhati asing dari 36 negara dan empat pertubuhan antarabangsa termasuk Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), akan memantau proses pilihan raya itu bagi memastikan "keterbukaannya."

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Uzbekistan M. Abdusalomov berkata kira-kira 40 wartawan asing turut dijemput untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya itu dengan lebih 17 juta orang telah pun mendaftar sebagai pemilih.

"Bagi memastikan keterbukaan pilihan raya ini, pemerhati dijemput untuk memantau proses pilihan raya," katanya dalam taklimat untuk pemerhati dan wartawan asing di sini pada Sabtu.

Abdusalomov berkata 517 calon daripada empat parti yang bertanding untuk 150 kerusi diberi peluang yang meluas dan sama rata untuk sampai kepada pengundi.

"Kesemua parti berkenaan diberikan ruang yang meluas dan sama rata untuk berkempen menerusi media elektronik dan cetak," katanya.

Beliau berkata selain itu, parti yang bertanding turut diberikan hak untuk mengadakan pertemuan dengan pengundi supaya mereka lebih mengenali calon, dan bagi pilihan raya 27 Disember ini, lebih 19,000 pertemuan seperti itu telah pun diadakan.

Keempat-empat parti yang bertanding adalah Parti Demokratik Rakyat, Parti Demokratik Sosial Adolat (Keadilan), Parti Demokratik Liberal (Pergerakan Usahawan dan Ahli Perniagaan) dan Parti Demokratik Milliy Tiklanish (Kebangkitan Semula Negara).

Beliau berkata Parti Demokratik Rakyat akan meletakkan 134 calon, Adolat (123), Parti Demokratik Liberal (135) dan Milliy Tiklanish (125).

Salah satu keistimewaan dalam proses pilihan raya itu ialah terdapat peruntukan di mana pengundi yang uzur boleh mengundi dari rumah masing-masing.

"Suruhanjaya akan menguruskan supaya golongan ini dapat mengundi dari rumah mereka," katanya.

Kumpulan pemerhati empat anggota dari Malaysia yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar turut dijemput sebagai pemerhati bagi pilihan raya 27 Disember itu.

Bersama-sama dengan pemerhati antarabangsa yang lain, mereka akan memantau perjalanan dan keputusan pilihan raya bagi menentukan sama ada ia berlangsung secara bebas atau adil.

Tiga lagi anggota kumpulan itu ialah Setiausaha Kehormat Asean Law Association of Malaysia S.Radhakrishnan, Presiden Perdasama Datuk Moehamad Izat Emir dan peguam kanan Kamarudin Ahmad.

Radhakrishnan ketika ditemui Bernama selepas taklimat itu, memuji aspek istimewa iaitu pengundi yang uzur boleh mengundi dari rumah mereka.

Beliau berkata proses pilihan raya di negara yang mempunyai 27 juta penduduk ini serupa dengan yang dijalankan di Malaysia tetapi ciri-ciri istimewa ini, yang tidak dilaksanakan di Malaysia, seharusnya dipuji.

Radhakrishan, yang juga pemerhati pada pilihan raya parlimen 2004, berkata suruhanjaya pilihan raya kedua-dua negara juga menjalin kerjasama yang rapat. "Sebagai sebuah negara yang masih muda, mereka bekerjasama rapat dengan SPR Malaysia dan mengaguminya," katanya.

Radhkrishnan berkata satu lagi keistimewaan yang terdapat di sini ialah penyediaan bilik khas untuk kaum ibu yang membawa anak di lebih 800 pusat pengundian.

"Ibu-ibu boleh meninggalkan anak mereka di bilik ini yang dilengkapi alat permainan untuk mereka bermain dan pegawai yang akan bertugas menjaga kanak-kanak ini semasa ibu mereka mengundi," katanya.

Beliau berkata langkah itu sebahagian daripada inisiatif yang dijalankan oleh kerajaan Uzbekistan untuk menggalakkan rakyatnya keluar mengundi.

Di bandaraya Samarkand yang berpemandangan indah, iaitu antara bandar raya tertua di dunia yang didiami penduduk, salah sebuah bilik di pusat pengundian yang dikhaskan untuk ibu dan anak dihiasi dengan belon berwarna-warni.

Pegawai bertugas di pusat pengundian itu, Kulmatov Olim Imamovich berkata "segala-galanya sudah siap untuk pilihan raya ini."

Kemudahan yang diperlukan termasuk bilik untuk kaum ibu telah pun disediakan," katanya.

Uzbekistan, negara dengan keluasan 447,400 km persegi, dikelilingi oleh Afghanistan, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan Turkmenistan.

Republik itu mengisytiharkan kemerdekaannya daripada Kesatuan Soviet pada 1991, dan menyertai perkumpulan bekas republik Soviet yang dikenali sebagai Komanwel Negara-Negara Merdeka (CIS).

Artikel Lain