suria

Rugi, tabiat buang kulit hanya kurangkan khasiat! Ketahui buah dan sayur boleh makan tanpa dikupas

Terdapat banyak khasiat pada kulit epal dan kentang untuk kesihatan tubuh. -Gambar hiasan/The Star

PENGAMBILAN sayur-sayuran dan buah-buahan dalam pemakanan sememangnya bagus kerana mempunyai pelbagai khasiat serta manfaat untuk kesihatan.

Selain serat, sayur-sayuran dan buah-buahan juga mengandungi vitamin dan mineral.

Penyelidikan dalam jurnal Circulation menyatakan bahawa pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang tinggi boleh mengurangkan risiko diabetes, penyakit jantung, kanser dan penyakit kronik lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Lepas ni dah tak beli anggur ‘seedless’, rupanya ada banyak khasiat dalam biji yang ramai tak tahu

Untuk mendapatkan manfaat ini, anda perlu memperbanyakkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari.

Namun, tahukah anda bahawa sesetengah sayur-sayuran dan buah-buahan boleh dimakan dengan kulit ataupun tidak perlu dikupas? Jom lihat perkongsian berikut:

1) Kentang

Kulit kentang mengandungi serat, vitamin B, vitamin C, kalium, kalsium dan zat besi. Jika bahagian kulit ini terbuang, sudah tentu khasiat yang anda perolehi berkurangan. Seeloknya, basuh dan bilas kulit kentang sehingga bersih sebelum dimasak.

kupas 2

Vitamin K yang terdapat pada kulit timun menyokong kesihatan tulang dan membantu proses pembekuan darah. -Gambar hiasan/The Star

2) Terung

Kulit terung yang berwarna lebih gelap, seperti terung ungu, mempunyai khasiat lebih tinggi. Bahagian kulit yang gelap mengandungi antioksidan kuat yang dipanggil nasunin. Dalam badan, nasunin boleh membantu mencegah kerosakan sel.

3) Timun

Kebanyakan nutrien berada di bahagian kulit. Dalam kulit timun, terdapat kalium yang membantu mengawal tekanan darah. Selain itu, terdapat juga vitamin K yang menyokong kesihatan tulang dan membantu proses pembekuan darah.

4) Epal

Di kulitnya, terdapat banyak serat yang penting untuk sistem penghadaman. Menariknya, kandungan serat dan vitamin lebih banyak ditemui dalam kulit berbanding dalam isi epal. Selain menyihatkan sistem penghadaman, serat juga boleh menghalang pembentukan plak dalam saluran pembuluh darah.

Asian senior man in joyful postures with hand holding salad bowl

Pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan sememangnya amat digalakkan kerana ia mengandungi nutrien yang diperlukan oleh tubuh. -Gambar hiasan/The Star

5) Pic

Buah pic adalah buah yang tidak perlu dikupas. Kulitnya mengandungi serat, vitamin A dan antioksidan yang baik untuk kesihatan mata anda.

6) Kiwi

Memang bahagian kulit buah ini terasa kasar tapi siapa sangka bahagian ini mengandungi banyak khasiat. Kulitnya mengandungi antioksidan dan vitamin C. Pengambilan makanan yang tinggi dengan khasiat ini secara kerap boleh mengurangkan risiko mendapat penyakit kronik.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain