suria

Gempar bayi kulit bersisik hasil hubungan sumbang mahram, ketahui apa itu penyakit ichthyosis

Keadaan bayi yang mengalami ichthyosis selepas dilahirkan. foto CEN

DUNIA digemparkan dengan seorang bayi lelaki yang dilahirkan dipercayai hasil hubungan sumbang mahram meninggal dunia beberapa jam selepas kelahirannya kerana masalah genetik.

Kisahnya menjadi tajuk utama dunia.

Bayi malang yang dilahirkan di Dustlik, Uzbekistan pada 4 Jun itu dikatakan mengalami banyak kecacatan kelahiran kerana ibu bapanya dipercayai adik-beradik.

Rakaman video yang menyayat hati memaparkan bayi tersebut menangis dalam inkubator ketika seorang jururawat mengelap kulit kering dan bersisik di bahagian bawah badannya.

ichthyosis 6

Ichthyosis menunjukkan keadaan kulit bersisik. foto Springer Science+Business Media

Menurut Kementerian Kesihatan Uzbekistan, bayi itu dilahirkan dengan 'kongenital ichthyosis yang teruk' dan kecacatan kelahiran lain yang disifatkan sebagai mengancam nyawa.

Memetik laporan Daily Star, ibunya yang berusia 28 tahun, hamil 35 minggu dan empat hari, ketika dia melahirkan bayi lelaki itu, menurut Kementerian Kesihatan Uzbekistan pada 28 Jun.

ARTIKEL BERKAITAN: Bayi lelaki hasil hubungan sumbang mahram meninggal dunia selepas 2 jam dilahirkan... alami kecacatan genetik

ARTIKEL BERKAITAN: Abang guard kulit 'bersisik' suka buat video Tiktok waktu malam, ada yang kata terkena sumpahan - "Tak perlu kaitkan ibu, arwah ayah saya"

Bayi lelaki itu adalah anak keduanya, yang pertama dilahirkan hasil hubungan bersama suami terdahulu dan kehamilan itu normal, tambah kementerian berkenaan.

Di sebalik usaha terbaik doktor untuk menyelamatkannya, bayi itu meninggal dunia hanya setelah dua jam 10 minit selepas dilahirkan.

Kementerian Kesihatan Uzbekistan berkata, dalam bidang perubatan, terbukti dalam kebanyakan kes, kanak-kanak dilahirkan dengan pelbagai kecacatan genetik akibat perkahwinan membabitkan saudara terdekat.

"Khususnya, disebabkan keluarga sebegitu, anak dalam kandungan mungkin mengalami penyakit berbahaya seperti terencat akal kongenital, gangguan kromosom, sindrom Down, terencat mental dan fizikal yang teruk.

"Oleh itu, kami meminta golongan muda yang sedang membuat persiapan untuk berkahwin, pertama sekali, menjalani pemeriksaan kesihatan dan seterusnya mengelak perkahwinan antara saudara terdekat," katanya.

Apa itu ichthyosis?

Ichthyosis merupakan sejenis penyakit yang menyebabkan kulit menjadi sentiasa kering, bersisik dan tebal.

Nama ichthy berasal daripada bahasa Yunani yang membawa maksud ikan kerana ia kelihatan seakan-akan bersisik.

ichthyosis 7

Ichthyosis boleh dialami sejak lahir.

Penyakit kulit yang diwarisi dan mempunyai ciri kulit yang merah, kering serta kasar dengan 'sisik' putih kasar dan halus yang besar.

Dilaporkan terdapat sekurang-kurangnya 20 jenis ichthyosis yang berbeza.

Memetik laman web NSH UK, sesetengah jenis ichthyosis diwarisi semasa lahir, manakala yang lain diperoleh semasa dewasa.

Mstar pada April 2021 turut melaporkan kisah tular mengenai seorang pengawal keselamatan yang menjadi perhatian di aplikasi TikTok gara-gara kulitnya yang 'bersisik'.

Pemuda berkenaan, Muhammad Hassan memberitahu dia mengalami sejenis penyakit kulit yang dinamakan ichthyosis sejak lahir.

"Ini penyakit kulit yang saya alami sejak lahir. Saya ada menjalani rawatan di hospital. Keadaan kulit di seluruh badan seperti bersisik dan ketebalannya adalah berbeza di sesetengah badan.

"Kulit saya ini juga sensitif jika terdedah kepada cahaya matahari. Kalau terdedah lama, kulit akan merah-merah dan mengelupas sehingga terkopek. Bila luka itu yang buat pedih dan sakit," katanya kepada mStar.

Menurut anak ke-11 daripada 12 beradik itu, empat lagi adik-beradiknya termasuk adik lelaki turut menghidap penyakit kulit yang sama.

ichthyosis 4

Kisah Muhammad Hassan yang menjadi tular gara-gara kulitnya yang 'bersisik'.

Ichthyosis vulgaris

Ichthyosis vulgaris merupakan jenis ichthyosis yang diwarisi paling biasa, yang boleh berlaku terhadap seorang dalam 250 orang.

Tanda dan gejala:

- Kulit mungkin kelihatan normal semasa lahir.

- Kulit secara beransur-ansur menjadi kering, kasar dan bersisik, biasanya sebelum umur 1 tahun.

- Muka dan bahagian siku serta lutut biasanya tidak terjejas.

- Anggota badan boleh membentuk sisik warna kelabu terang yang halus.

- Kulit pada tapak tangan dan tapak kaki mungkin mempunyai lebih banyak garisan daripada biasa dan menebal

- Kanak-kanak kerap juga mengalami ekzema.

- Gejala selalunya lebih teruk apabila keadaan sejuk dan kering, serta bertambah baik dalam keadaan panas dan lembab. Ini bermakna ia mungkin lebih ketara pada musim sejuk berbanding musim panas.

ichthyosis 8

Menurut Muhammad Hassan, empat lagi adik-beradiknya turut menghidap penyakit kulit yang sama.

Ichthyosis yang teruk

Individu yang mengalami ichthyosis yang teruk mungkin perlu menghabiskan beberapa jam sehari untuk menjaga kulit mereka.

Mereka mungkin mengalami masalah berikut:

1. Terlalu panas - Mengakibatkan pengurangan keupayaan untuk berpeluh.

2. Pergerakan terhad - Kulit kering boleh menyebabkan ia terlalu menyakitkan untuk menggerakkan bahagian badan tertentu.

3. Jangkitan kulit - Keadan berlaku selepas kulit merekah dan mengelupas.

4. Pendengaran atau penglihatan terjejas - Jika kulit terkumpul di atas telinga atau mata.

Individu yang mengalami ichthyosis yang teruk mungkin diberi tablet retinoid (vitamin A sintetik), yang mengurangkan pertumbuhan kulit bersisik yang terlalu aktif. Ia memperbaiki penampilan kulit, tetapi tidak membaiki keradangan atau kemerahan. Suplemen vitamin D juga boleh diamalkan.

ichthyosis 5

Keadaan ichthyosis yang teruk.

Rawatan ichthyosis

Belum ada rawatan penyembuh untuk penyakit ichthyosis.

Bagaimanapun, terdapat ubat-ubatan untuk mencegah kekeringan dan sisik serta mengurangkan ketidakselesaan kepada pesakit.

Penggunaan pelembap juga membantu pembentukan sel kulit pesakit.

Penjagaan kulit

Pakar kulit anda (pakar dermatologi) akan menetapkan atau mengesyorkan rawatan pelembap yang sesuai, sama ada dalam bentuk krim, losyen atau minyak mandian.

Produk pengelupasan atau pelembap lain yang berguna termasuk krim lanolin, produk yang mengandungi urea, propilena glikol, asid laktik dan asid alfa hidroksi yang lain.

Pakar dermatologi anda juga mungkin mengesyorkan krim pengelupasan, seperti asid salisilik, untuk membantu mengelupas dan melembapkan kulit anda. Bagaimanapun, sesetengah orang mungkin mendapati produk ini merengsakan kulit mereka.

Kesimpulan

Mereka yang menghidap ichthyosis ringan mempunyai jangka hayat yang normal. Walau bagaimanapun, jenis yang diwarisi adalah paling berisiko kerana boleh mengancam nyawa.

Jika anda mewarisi ichthyosis, anda akan mengalaminya seumur hidup. Ichthyosis yang dihidapi mungkin menjadi lebih baik sekiranya punca asas dikenal pasti dan dirawat.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain