suria

Wanita hamil, ibu bersalin tak perlu ‘pantang’ durian... Dr Imelda kata boleh makan tapi jangan tamak!

Wanita hamil atau ibu baru bersalin akan bertanya sama ada mereka boleh makan durian atau tidak. gambar hiasan foto SAM THAM/TheStar

MUSIM durian kembali lagi!

Nak makan durian sedap bukan masalah kerana gerai menjual raja buah itu ada di mana-mana.

Terdapat pelbagai jenis durian yang menjadi buruan seperti Musang King, Duri Hitam, Udang Merah, Kacang Hijau dan banyak lagi mengikut selera dan bajet masing-masing.

Namun setiap kali musim durian, pasti timbul persoalan dalam kalangan wanita hamil dan ibu yang baru bersalin sama ada mereka boleh makan durian atau tidak.

Menjawab pertanyaan itu, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi (O&G), Dr Imelda Balchin berkata, jawapan tentang durian terpakai kepada sesiapa sahaja.

makan durian 3

Ramai peniaga kini menjual durian. foto GLENN GUAN/The Star

"Selagi tiada alahan makanan kepada durian... durian itu bukanlah racun. Boleh je makan. Durian itu salah satu buah-buahan semula jadi kurniaan Tuhan yang ada pelbagai khasiat.

"Yang anda patut pantang ialah asap rokok, minuman beralkohol, vape, hisap ganja, makanan ringan, suplemen berlebihan yang anda tak perlu termasuk produk-produk over claim," tulisnya di Facebook pada bagi menjawab pertanyaan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita hamil teringin makan durian? Ambil tahu 4 fakta penting sebelum nikmati raja buah

Namun pengamal perubatan itu mengingatkan orang ramai supaya menikmati raja buah berkenaan secara sederhana demi kesihatan tanpa mengira latar belakang.

"Anda semua tiada alasan nak melantak durian dan bersifat tamak haloba. Kalau nak sihat, makanlah berpada-pada dan bersederhana.

"Tidak kira anda tua atau muda, mengandung atau tak mengandung, baru bersalin atau tidak, lelaki atau perempuan, gemuk atau kurus. Sama saja. Makan sikit-sikit dan kongsi dengan orang lain," ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi merujuk kepada kandungan gula dan karbohidrat yang tinggi dalam durian.

makan durian 1

Perkongsian Dr Imelda di Facebook.

Dr Imelda turut menegaskan bahawa nasihat itu turut terpakai kepada mereka yang sihat dan tidak mempunyai sebarang penyakit.

Ini kerana pengambilan durian yang berlebihan mengundang risiko kepada kesihatan, sambil mengingat orang ramai supaya mengamalkan gaya hidup sihat.

"Jangan kata kalau anda orang sihat yang tiada penyakit maka anda boleh makan banyak-banyak. Tak boleh juga jika anda nak kekalkan kesihatan anda.

"Sama saja. Makan sikit-sikit dan kongsi dengan orang lain. Tak salah makan durian. Apa-apapun, makan banyak-banyak berlebihan yang jadi bahaya untuk kesihatan.

"Yang penting, belajar kawal nafsu, pilih makanan sihat dan jangan lupa bersenam. The dose makes the poison. (Dos itu yang membuatkannya ia menjadi 'racun')," kata Dr Imelda yang merujuk kepada makan durian secara berlebihan akan membahayakan kesihatan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain