suria

Jalan-jalan sambil tambah ilmu, projek Bakul Buku jadi tarikan terbaharu Pulau Tuba

Anak-anak penduduk kawasan perumahan KEDA, Teluk Berembang sedang asyik membaca komik dan buku yang berada dalam bakul.

MUNGKIN ramai tidak mengetahui kewujudan Pulau Tuba tetapi sebenarnya ia adalah satu-satunya pulau yang didiami selain Pulau Langkawi di negeri Kedah.

Pulau Tuba ini adalah salah satu destinasi pelancongan yang boleh anda singgah dan ia terletak bersebelahan dengan Pulau Dayang Bunting di Langkawi.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia terokai pelancongan Islam sebagai strategi rancakkan kembali industri pasca pandemik

Rata-rata penduduk yang tinggal di pulau ini adalah beragama Islam dan terdapat sebuah kampung nelayan dan masyarakatnya masih hidup dengan cara tradisional meskipun terdapat pelbagai kemudahan seperti bekalan air bersih dan elektrik.

Gambar 1 - Chaharis

Azlan (tiga dari kanan) menyerahkan bakul buku kepada Chaharis (tiga dari kiri) di warung makanan perumahan Keda Teluk Berembang, Pulau Tuba, Kedah.

Melihat kepada keunikan pulau ini, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) menggerakkan kempen 'Projek Bakul Buku' dalam menyemarakkan amalan membaca dengan cara menyeronokkan.

Projek itu adalah sebuah program berbentuk tanggungjawab sosial korporat iaitu sumbangan bakul berisi bahan bacaan seperti buku dan majalah.

Timbalan Pengarah UCTC UPSI, Dr Mohd Azlan Nafiah berkata bakul-bakul buku ini disumbangkan kepada para pengusaha restoran, warung kopi dan premis perniagaan berunsur perkhidmatan seperti salun rambut dan bengkel kereta untuk diletakkan di ruang niaga mereka sebagai nilai tambah pelanggan sambil menggalakkan masyarakat membaca.

“Sukarelawan UPSI yang terdiri daripada pelbagai jabatan dan fakulti antaranya pegawai-pegawai Perpustakaan Tuanku Bainun dan petugas sukarelawan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) UPSI telah mengedarkan beberapa buah bakul buku di premis-premis perniagaan seperti warung kopi dan kedai makan di sekitar perkampungan Pulau Tuba sebagai projek rintis program berkenaan.

Gambar 4 - NC UPSI

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff.

“Peralihan fasa endemik di negara menyaksikan pemulihan sektor ekonomi di tanahair, menjadikan premis makanan antara lokasi tumpuan penduduk setempat menjamu selera. Ketika pelanggan sedang menunggu sajian makanan yang dipesan terhidang, terdapat kebarangkalian para pelanggan ini akan mengambil dan membelek bahan bacaan dalam bakul buku tersebut,” jelasnya.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata kebanyakan bahan bacaan yang dimuatkan dalam bakul buku merupakan buku-buku bergambar, komik, majalah serta pelbagai buku beraneka genre mampu menarik minat pelbagai lapisan masyarakat.

Pemilihan kandungan judul buku dan majalah juga mendapat saranan daripada pakar rujuk Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI.

“Di Pulau Tuba misalnya, sebuah penempatan kecil masyarakat nelayan, di mana kurang capaian untuk mendapatkan buku-buku atau bahan bacaan yang menarik dan berkualiti. Dengan adanya inisiatif seperti ini, sekali gus dapat menyokong hasrat Kementerian Pengajian Tinggi untuk memasyarakatkan universiti (U4S) serta dapat melestarikan perkembangan pendidikan negara,” jelasnya.

Gambar 3 - Nurin

Pengusaha premis makanan, Nurin (kiri) dan Timbalan Pengarah UCTC UPSI, Azlan Nafiah (kanan) membelek bahan bacaan dalam bakul buku di Pulau Tuba, Kedah.

Penduduk sambut baik

Pengusaha warung kedai makanan ringan kawasan perumahan KEDA, Teluk Berembang, Chaharis Kamis, menyambut hasrat baik Projek Bakul Buku UPSI yang disifatkan sebagai penggalak kepada budaya membaca penduduk kawasan tersebut.

“Warung saya menyajikan makanan ringan serendah RM1, beroperasi seawal pukul 8 pagi hingga 7 malam. Rata-ratanya pelanggan terdiri daripada anak-anak penduduk akan beli makanan, jika mereka berminat nak membaca, mereka boleh ambil buku dalam bakul dan membaca buku-buku yang mereka suka,” jelasnya.

Seorang lagi pengusaha warung makanan, Nurin Syazia, berpendapat, usaha yang dilaksanakan wajar dipuji lebih-lebih lagi kebanyakan pelanggan gerainya terdiri daripada anak-anak penduduk sekitar yang banyak menghabiskan masa dengan gajet ketika makan di warung.

“Dengan adanya buku-buku dan majalah di warung saya, anak-anak penduduk di kawasan sekitar sini boleh duduk membaca bahan-bahan bacaan yang bermanfaat, tidaklah mereka hanya asyik leka bermain gajet saja,” jelasnya.

UCTC UPSI akan terus gerakkan kempen-kempen seumpama dengan meletakkan lebih banyak bakul-bakul buku di kawasan komuniti seluruh tanahair dalam siri program jelajah khidmat komuniti pada masa-masa akan datang.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain