suria

Semua Atlet Tertakluk Jalani Ujian Doping

KUALA LUMPUR: Tiada atlet Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) termasuk beberapa orang kenamaan (VIP) yang akan mengambil bahagian dalam temasya dwitahunan itu, dikecualikan daripada ujian dadah.

Ketua Jawatankuasa Perubatan dan Anti-Doping KL2017 Datuk Dr S.S. Cheema berkata pegawai perubatan telah dilatih untuk mengendalikan mereka.

“Sama ada anda orang kenamaan, atau hanya orang biasa, sistem itu harus diikuti,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perubatan dan Anti-Doping Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) di sini, Khamis.

KL2017 akan menyaksikan penyertaan golongan kerabat diraja antaranya termasuk Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin yang akan menyertai skuad ekuestrian negara acara kuda lasak serta Putera Brunei, Putera Abdul Mateen Bolkiah dan Puteri Azemah Ni'matul Bolkiah yang akan berdepan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dalam acara polo.

“Kerana mereka tahu, sesiapa yang menolak, (boleh dianggap) positif,” katanya.

Berhubung mesyuarat yang diadakan serentak dengan Peraturan dan Sukan SEAGF serta Jawatankuasa Wanita dan Sukan, Cheema berkata semua negara peserta KL2017 menghadiri mesyuarat itu dan diberi taklimat mengenai perkhidmatan perubatan yang disediakan Malaysia.

Beliau berkata delegasi juga diberi penerangan mengenai komitmen Malaysia untuk menjadikan KL2017 sebuah Sukan SEA yang bebas dadah, dengan melakukan lebih banyak ujian dadah berbanding Sukan SEA Singapura.

Mesyuarat hari ini turut membincangkan isu berhubung KL2017 dan akan menyediakan cadangan kepada jawatankuasa eksekutif SEAGF.

Jawatankuasa eksekutif kemudian akan mengkaji semula dalam mesyuarat yang akan diadakan hari ini sebelum mengemukakan kepada majlis SEAGF yang akan memutuskan perkara itu dalam mesyuarat esok.-- Bernama    


Sukan SEA, doping

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain