suria

Cetus Kekecohan, Polis Lepas Gas Pemedih Mata Terhadap Penyokong England

POLIS melepaskan tembakan gas pemedih mata terhadap penyokong England yang bertindak liar di Lille pada Rabu dalam satu lagi percubaan untuk mencetuskan kekecohan pada saingan Euro 2016.

Sekumpulan 200 penyokong England menimbulkan kekecohan dekat stesen kereta api di ibu negara itu dengan menyanyikan lagu anti Rusia dan merosakkan beberapa kenderaan sebelum polis bertindak mengawal keadaan.

Penyokong England dan Rusia melakukan rusuhan menjelang pertembungan kedua-dua pasukan di Stade Velodrome pada Sabtu lalu.

Sekumpulan penyokong mencetuskan kekecohan.

Ketua Pendakwa Marseille Brice Robin mengakui kira-kira 150 'hooligan' Rusia terlibat dalam rusuhan itu.

Dengan Rusia bertemu Slovakia di Lille, malam Rabu dan pertembungan England dengan Wales di Lens pada Khamis berkemungkinan akan memburukkan lagi keadaan. 

Penyokong yang bertindak liar berkumpul di tepi jalan dan polis kemudiannya melepaskan gas pemedih mata menyebabkan mereka bertempiaran lari.

Beberapa penyokong Rusia terlibat walaupun salah seorang daripada mereka bergelut dengan polis kerana membaling botol.

Penyokong bertindak liar berkumpulan di jalanan.

Insiden pergaduhan itu mengimbau kembali kenangan pahit ketika tragedi di pelabuhan Mediterranean membabitkan 'hooligan' England, penyokong Tunisia dan rakyat tempatan berbangsa Afrika Utara kepada Piala Dunia 1998. 

Pada masa itu, ratusan penyokong England terbabit dengan pergaduhan dengan rakyat tempatan di Marseille selama dua hari ketika England menentang Tunisia dan akhbar tempatan menggunakan tajuk "Pulanglah ke rumah, hooligan!" 

Keganasan terbabit mencemari suasana tenang di pelabuhan itu ketika penyokong beramah mesra bersama pelancong dengan polis sekadar melakukan rondaan.

Jawatankuasa Eksekutif Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA)  pada Ahad lalu memberi amaran kepada England dan Rusia bahawa kedua-dua pasukan itu boleh disingkirkan daripada kejohanan tersebut sekiranya insiden di Marseille berulang kembali.  

Susulan insiden itu pihak berkuasa tempatan membuka laluan yang berlainan untuk memasuki Stade Velodrome bagi kedua-dua penyokong untuk mengelakkan mereka bertembung sebelum memasuki stadium.

Artikel Lain