suria

Dua gadis ini teruja menjelang kejohanan MYSG Ladies, tidak mahu gamers wanita ketinggalan dalam e-sukan Malaysia

Kedua-dua mereka memberikan pandangan berhubung 'gamers' wanita yang dikatakan dianaktirikan dalam bidang e-Sukan Malaysia.

PENGULAS e-sukan, Nur Zafirah atau lebih dikenali sebagai Fyra Zaidi berpendapat penglibatan wanita dalam e-sukan pada masa kini masih kurang khususnya pemain profesional.

"Tidak ramai dari segi bakat pengulasan mahupun pro-player yang ada dalam bidang e-sukan dan stigma seksisme serta diskriminasi masih lagi tinggi dalam bidang ini," kata Fyra.

Rakannya, Noor Farizah, turut memberikan pandangan hampir serupa berhubung isu ini.

“Netizen melihat wanita dan dunia e-sukan tidak boleh disatukan, tetapi tanggapan itu adalah salah kerana sukan ini adalah salah satu platform yang fleksibel untuk sesiapa sahaja baik lelaki mahupun wanita," kata Noor Farizah pula.

Fyra dan Noor Farizah merupakan pengulas e-sukan wanita yang tidak asing lagi di Malaysia dan dalam kalangan gamers wanita. Mereka berdua akan terlibat dalam pertandingan MYSG Ladies yang bakal berlangsung dari 8 hingga 10 Oktober ini.

Dalam melontarkan pandangan masing-masing, kedua-dua mereka nampaknya senada apabila menyatakan pertandingan e-sukan khas untuk wanita sahaja adalah penting sepertimana yang dilakukan dalam sukan konvensional, mengikut kategori wanita dan lelaki.

ARTIKEL BERKAITAN: Terbesar di Malaysia! UniPin Ladies Championship memperkasakan wanita menerusi pertandingan

Dengan pengkhususan itu, ia bakal membuka peluang lebih luas untuk gamers wanita mengorak langkah ke hadapan tanpa perlu bersaing secara terus dengan lelaki.

Mereka bersependapat bahawa dengan cara ini, lebih banyak bakat baharu dapat dilahirkan dalam bidang e-sukan wanita.

Dalam pada itu, Fyra turut menyentuh tentang media massa yang mana dia berpendapat liputan media perlu memberi fokus kepada agenda ini agar dapat membuka mata netizen sekali gus memberikan kesedaran bahawa wanita juga mampu ke peringkat lebih tinggi apabila menceburi bidang e-sukan.

"Saya berharap lebih banyak platform disediakan agar lebih banyak peluang dibuka bagi menggalakkan penglibatan wanita dalam dunia ini.

"Secara tidak langsung ini akan membuka mata masyarakat terhadap bakat-bakat baru yang bakal muncul dalam industri e-sukan wanita," kata Noor Farizah.

Untitled design

Noor Farizah

Walau apa pun senarionya, kedua-dua mereka menunjukkan reaksi teruja dengan penganjuran Kejohanan MYSG Ladies yang bakal berlangsung tidak lama lagi kerana bagi mereka inilah peluang keemasan untuk wanita-wanita di luar sana menunjukkan bakat tidak kira sebagai pengulas ataupun pemain.

“Saya sangat teruja sebab sudah lama tiada pertandingan e-sukan wanita yang ada peluang untuk mewakili negara. Ini adalah masa untuk para pemain wanita membuktikan diri mereka dalam dunia e-sukan,

“Pertama kali saya dengar mengenai kejohanan MYSG Ladies, saya rasa sangat teruja kerana sangat sukar untuk mencari kejohanan yang dikhaskan untuk wanita sahaja.

"Jadi, kejohanan MYSG Ladies dapat lebih membantu para wanita untuk bersinar dalam bidang ini,” kata Fyra.

Untitled design (1)

Nur Zafirah atau lebih dikenali sebagai Fyra Zaidi

Justeru, buat wanita di luar sana jangan lepaskan peluang ini untuk cuba berjinak-jinak sambil membina kerjaya dalam bidang e-sukan.

Fyra dan Noor Farizah juga sempat memberi pesanan ringkas buat semua para wanita agar tidak mensia-siakan peluang ini.

“Semoga jadi yang terbaik untuk mewakil Malaysia dan paling penting jangan lupa have fun.

“Buktikan wanita juga boleh menjadi sehebat dan setanding para lelaki.” ujar Noor Farizah.

Bagi yang kurang mengenali Fyra dan Noor Farizah, mereka berdua sering membuat kemunculan sebagai pengulas pertandingan seperti ESL Maggi Hot Cup, MLBB, PUBGM dan yang akan datang MYSG Ladies Tournament.

Marilah kita memberi sokongan untuk industri e-sukan negara, Majulah E-sukan Malaysia!

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain