suria

Skuad catur negara bolot empat emas

Skuad catur negara bersama pingat emas di temasya AUG 2022.

SKUAD catur negara di Sukan Universiti Asean (AUG) 2022 beraksi cemerlang apabila membolot semua empat pingat emas, pada hari terakhir pertandingan itu.

Emas Malaysia itu disumbangkan menerusi individu lelaki, Rohan Shan Tze Navaratnam; individu wanita, Tan Li Ting; berpasukan lelaki dan berpasukan wanita.

Selain empat emas, skuad negara turut meraih dua perak dalam acara individu lelaki dan wanita menerusi Muhammad Faqih Aminuddin dan Chua Jia Tien.

Meskipun atlet negara berjaya menamatkan saingan di kedudukan ketiga dalam dua-dua acara tersebut, namun berdasarkan peraturan kejohanan, hanya dua pemain daripada satu negara yang boleh memenangi pingat.

Keputusan itu menyaksikan atlet Thailand, Kavin Nattavutthisit yang menduduki tangga keempat dalam kategori individu lelaki diberi pingat gangsa manakala pemain Singapura, Durga Saravanan yang menamatkan pusingan di tempat kelima acara individu, memenangi pingat gangsa.

"Alhamdulillah hari ini kita cipta sejarah gemilang sukan catur tanah air. Ini kerana kita berjaya sapu bersih semua pingat yang dipertandingkan.

"Tahniah kepada pemain yang menunjukkan komitmen dan disiplin tinggi sepanjang kejohanan ini.

"Saya sangat berbangga dengan pencapaian yang dilakar mereka di temasya ini," kata ketua jurulatih pasukan catur negara, Mohd Ezmi Mahmmod.

Untuk rekod, pencapaian skuad catur dalam edisi ke-20 ini melepasi sasaran satu emas ditetapkan dan mengatasi kejayaan memenangi dua pingat emas dan satu perak di Nay Pyi Daw, Myanmar pada 2018. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain