suria

Aksi tumbuk 'curi', penjaga gol Selangor terima habuan digantung lima perlawanan

Farizal (kiri) melepaskan tumbukan ke muka Mohamed ketika perlawanan 18 Mei lalu.

PENJAGA gol Selangor Mohd Farizal Harun menerima 'habuan' daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas bertindak ganas ke atas pemain PKNP FC minggu lalu.

Pemain kelahiran Negeri Sembilan berusia 33 tahun itu bertindak di luar jangkaan apabila menumbuk muka pemain tengah lawan Mohamed Al-Fateh ketika aksi Liga Super 18 Mei lalu.

Tindakan tersebut mendapat perhatian peminat bola sepak tempatan yang turut mengkritik bekas pemain Felda United itu.

Malah FAM turut memandang serius kelakuan itu sekali gus menjatuh hukuman penggantungan lima perlawanan.

"Melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM akibat daripada tindakannya berkelakuan ganas dengan menumbuk muka pemain lawan.

"Penggantungan lima perlawanan, denda sebanyak RM5,000.00 yang dikehendaki dijelaskan jumlah denda yang dikenakan dalam masa 14  hari waktu bekerja dari tarikh penerimaan keputusan ini dan diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama," jelas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Baljit Singh Sidhu dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM Kali ke-12 pada Khamis.

Mesyuarat tersebut juga memutuskan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor didenda RM25,000 akibat  daripada kelakuan penyokong yang didapati membakar mercun roket sebelum dan semasa dalam perlawanan pada 14 Mei lalu.

Turut mendapat perhatian FAM terhadap pegawai pasukan Sarawak Hamzah Ibrahim yang dikenakan hukuman gantung 12 bulan bagi dua kesalahan yang dilakukan pada 21 dan 27 April.

Farizal digantung lima perlawanan.

Kesalahan pertama Hamzah iaitu berkelakuan  menyinggung dan fair play serta ugutan semasa dan selepas perlawanan menyebabkan hukuman bermula 30 Mei hingga 20 November 2019.

Manakala kali kedua dengan kelakuan yang sama menyebabkan dia akan menjalani hukuman bermula 30 November hingga 29 Mei 2020.

Dia dilarang menjalani sebarang aktiviti bola sepak termasuklah pentadbiran, pengurusan kesukanan bolasepak bersama denda sebanyak RM20,000 bagi kedua-dua kesalahan.

Selain itu empat pemain lain yang dikenakan hukuman termasuk pemain UiTM Zarko Korac dengan dua kesalahan keganasan terhadap pemain lain  (4 Mei dan 27 Mei) dijatuhkan hukuman penggantungan empat perlawanan.

Pemain  PKNS FC, Muhammad Syafiq Sabaruddin digantung tiga perlawanan kerana tindakannya berkelakuan ganas dengan menyiku dibahagian belakang leher pemain pasukan lawan.

Pemain pasukan Perak, Muhammad Harith Izzudin Mohamad Hussain dan pemain JDT IV Syahirul Fazly Zaini masing-masing dikenakan hukuman penggantungan tiga dan dua perlawanan gara-gara  tindakannya berkelakuan ganas dengan menendang dibahagian kaki dan menumbuk dibahagian muka pemain.

Manakala Syahirul didenda kerana mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah kepada pengadil perlawanan.

Farizal Harun, FAM, Selangor

Artikel Lain