suria

JDT selesa di persada liga, PJ City lebur rekod tanpa kalah Pahang

Penjaga gol Felda United Norazlan Razali menyelamatkan pintu gol ketika diasak pemain-pemain Johor DT pada perlawanan Liga Super 2019 di Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Jengka, Sabtu malam. Foto: Bernama

NASIB berbeza dialami dua pasukan teratas Liga Super pada aksi malam ini - Johor Darul Ta'zim (JDT) selaku pendahulu melebarkan penguasaan di persada liga dengan kemenangan 2-0 ke atas Felda United sementara Pahang kecundang 0-2 di tangan pendatang baharu, PJ City FC.

Beraksi di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, JDT selaku pasukan pelawat membawa pulang tiga mata berharga untuk berdiri megah di kedudukan teratas dengan kelebihan lima mata meninggalkan Pahang menerusi dua gol dijaringan pemain import dari Brazil, Diego Luis Santo pada minit ke-38 dan minit ke-61.

Kejayaan tersebut menyaksikan JDT yang juga juara bertahan, mengekalkan rekod tanpa kalah mereka sekali gus semakin selesa dalam misi memburu kejuaraan Liga Super kali keenam berturut-turut.

Pada aksi di Stadium Majlis Bandara Petaling Jaya, Pahang akhirnya menerima kekalahan pertama musim ini selepas aksi longlai membolehkan PJ City FC mengutip kemenangan ketiga mereka.

Skuad ‘Tok Gajah' seakan hilang taring apabila gagal menguasai perlawanan sebelum dikejutkan dengan gol pertama pasukan tuan rumah menerusi jaringan Pedro Henrique pada minit ke-30 sebelum Serginho Filho menambah derita Pahang dengan meledak gol kedua PJ City FC pada minit ke-61.

Pada masa sama, gol penyamaan pada minit ke-60 oleh pemain sayap, Patrick Reichelt memadam gol pembukaan pertahanan muda kebangsaan, Muhammad Syahmi Safari pada minit ke-30 untuk membantu Melaka mengikat Selangor 1-1 di Stadium Shah Alam.

Turut mencatat keputusan seri adalah PKNP FC dan Terengganu FC (TFC) selepas kedua-dua pasukan seri 2-2 dalam aksi dramatik di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.

PKNP FC mendahului dua kali menerusi jaringan pertahanan kebangsaan Filipina, Amani Aguinaldo pada minit ke-21 dan pemain import dari Ghana Homas Abbey (minit ke-33), namun gagal mempertahankan kedudukan itu dengan membenarkan TFC menjaringkan dua gol masing-masing menerusi Tchetche Kipre pada minit ke-30 dan Sanjar Shaakhmedov (minit ke-68).

Sementara itu, dalam aksi Liga Premier, gol tunggal seawal minit ketujuh oleh pemain import dari Serbia Paunovic Rodoljub membawa Sabah naik ke kedudukan kedua liga selepas menewaskan Selangor United 1-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, Kelantan dan Sarawak masing-masing terpaksa berpuas hati membawa pulang satu mata selepas aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.- Bernama

JDT, PJ City, Felda United, Pahang

Artikel Berikut

Artikel Lain