suria

City pintas United muncul kelab EPL paling bernilai

Sheikh Mansour mengambil alih City sejak September 2008 daripada Thaksin Shinawatra.

MANCHESTER City mengatasi seteru utamanya, Manchester United sebagai kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) paling bernilai.

City dianggarkan bernilai 2.364 bilion pound sterling bagi musim 2017/2018, menunjukkan peningkatan 385 juta pound sterling berbanding tahun sebelumnya.

Sementara itu, United bernilai 2.087 bilion pound sterling selepas mengalami kemerosotan kira-kira 376 juta pound sterling.

Laporan yang dikeluarkan Universiti Liverpool berkata kemerosotan United berpunca daripada bayaran gaji tinggi dan keuntungan yang rendah.

Dalam senarai kelab terkaya dunia oleh Deloitte yang disiarkan pada Januari, hanya kelab Sepanyol, Real Madrid dan Barcelona yang mengatasi United.

Namun senarai dikeluarkan Deloitte hanya berdasarkan keuntungan.

Data Universiti Liverpool pula lebih tepat berdasarkan pengiraan keuntungan, kos tidak berulang, keuntungan purata pada jualan pemain dalam tempoh tiga tahun, aset bersih, kawalan upah dan bahagian tempat duduk yang dijual.

Kedua-dua kelab itu merupakan pasukan yang bernilai lebih 2 bilion pound sterling bagi musim 2017-2018 ketika nilai keseluruhan EPL menurun 1.6%.

Spurs (£1.837 bilion), Liverpool (£1.615 bilion) dan Chelsea (£1.615 bilion) menunjukkan peningkatan ketara manakala Arsenal (£1.368 bilion) merosot ke tempat keenam berbanding tempat ketiga sebelum ini. - Mirror.co.uk

Artikel Lain