suria

Yusry Haziq bakal tamatkan latihan di UK, bapa anggap jolokan 'Neymar Malaysia' masih jauh

Yusry menjalani latihan Brooke House College Football Academy.

HAMPIR dua tahun berkelana di England, pemain muda kelahiran negeri Sarawak bakal kembali ke tanah air pada pertengahan Jun ini.

Mohd Yusry Haziq Idris ,17, sentiasa disebut-sebut peminat bola sepak tempatan khususnya penduduk Limbang, Sarawak kerana kelincahan beraksi sejak terpilih mewakili Sarawak bagi pasukan Bawah 12 Tahun.

Memang benar kata orang, 'tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu'.

ARTIKEL BERKAITAN: Kedah terbangkan 4 pemain muda ke Cardiff City

ARTIKEL BERKAITAN: Tuah Syameer ke Portugal

Dengan bakat luar biasanya itu, Yusry ke Leicestershire selepas terpilih sebagai pemenang Program Million Dollar Feet (MDF), yang dipelopori legenda Liverpool, Steve McMahon pada 2016.

Peluang seumur hidup itu diterima Yusry dan keluargannya dengan hati terbuka walaupun sedar kekangan kewangan akan menjadi faktor utama sepanjang berada di bumi Leicestershire.

Yusry ditempatkan di Brooke House College Football Academy di Leicestershire, England mulai September 2017.

Idris bersama anaknya ketika melawat Yusry di London tahun lalu.

Bapa kepada pemain yang dianggap pendiam dan sentiasa merendah diri ini, Idris Ismail,49, ketika dihubungi mStar memberitahu tempoh Yusry belajar di luar negara bakal tamat.

"Tempoh Yusry berlatih di sana akan tamat. Selepas mengharungi keadaan sedikit sukar dan menebal muka mencari dana untuk perbelanjaan dia kat sana, semuanya akan berakhir.

"Tetapi saya berharap dia akan terpilih untuk bermain di sana mencari pengalaman sebaik mungkin sebelum kembali ke Malaysia.

"Dia masih mentah dan masih belum sesuai disamakan dengan pemain dunia lain.

"Mengenai jolokan 'Neymar Malaysia' yang diberikan kepadanya, saya rasa ia belum layak.

"Biar dia berusaha terlebih dahulu," ujarnya.

Yusry (lima dr kiri) menjalani latihan bersama kelab Nottingham FC. 


Idris berkata, sebagai bapa Yusry dia memang bangga dengan peluang yang diperolehi anaknya itu.

"Pengurusnya di sana Istvan Kislorincz sentiasa menghubungi kami untuk memaklumkan perkembangannya di sana.

"Menurut emel yang dihantar, Yusry sentiasa menunjukkan prestasi yang baik, malahan sejak tiba lagi dia dapat menyesuaikan diri sehingga sekarang.

"Dia juga dilihat sebagai seorang yang bertenaga dan cepat menerima corak latihan di sana.

"Saya berharap apabila dia kembali kelak, pengalamannya itu akan digunakan sebaik-baiknya.

"Saya juga bertuah tahun lalu dapat mengiringi Yusry hingga ke London dengan jemputan MDF," katanya.

Yusry menjalani latihan di England selama dua tahun.

Menurut Idris yang mengalami masalah saraf yang menyukarkannya bergerak, beliau melahirkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang memberi sumbangan dan bantuan kepada Yusry sepanjang berada di sana.

"Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Hasbi Habibollah, Dr Abd Rahman Ismail antara penyumbang utama menjadikan impian Yusry jadi kenyataan," katanya.

Bagaimanapun, beliau terkilan kerana sepanjang dua tahun ini juga tidak terlepas ditipu pihak tertentu yang memberi jaminan untuk membantu Yusry, namun sebaliknya berlaku.

"Dan Yusry bernasib baik juga kerana dia mempunyai keluarga angkat di England, Dean Yaakub yang sentiasa membantunya di Conventry," ujarnya.


Artikel Lain