Bekas pemain bola sepak kebangsaan meninggal dunia - Sukan | mStar

Bekas pemain bola sepak kebangsaan meninggal dunia

BEKAS pemain bola sepak negara Wan Hassan Wan Ibrahim meninggal dunia petang Rabu di rumahnya di Kampung Cherang, Kota Bharu akibat kegagalan fungsi paru-paru.

Jenazah allahyarham Wan Hassan, 68, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cherang pada pukul 10.15 pagi Khamis.

Anak bongsunya, Wan Fadhilah, 38, berkata ayahnya menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.30 petang Rabu setelah dua tahun menderita lumpuh separuh badan.

“Doktor mengesahkan paru-paru ayah tidak berfungsi dengan baik dan tersumbat dengan kahak yang banyak,” katanya.

Wan Hassan lumpuh separuh badan sejak pertengahan 2017 dan kesihatannya mulai merosot selain susut tubuh badan bermula awal tahun ini.

Kariernya Allahyarham bermula pada usia 16 tahun selepas mewakili Kelantan untuk skuad Piala Burnley pada 1968.

Kelincahannya selaku perancang di bahagian tengah membolehkan beliau diserapkan ke dalam skuad Piala Malaysia pada 1970 sebelum dipilih menyertai skuad Malaysia B pada pertandingan Pestabola Merdeka setahun kemudian.

Pada 1972 pula, beliau dipilih menyertai skuad utama Malaysia bagi menghadapi kejohanan Piala Raja Thai di Bangkok serta kelayakan Piala Dunia 1972 termasuk mencatatkan keputusan seri ketika berdepan Korea Selatan di Seoul.

Selepas bersara pada 1980, beliau dilantik selaku pengurus pasukan Kelantan selama dua tahun. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain