suria

Victor Andrag rangka misi Kedah bangkit

Victor akan menggalas tanggungjawab untuk menggendali skuad Kedah pada perlawanan Jumaat malam.

BEKAS bintang Kedah, Victor Andrag menggalas tanggungjawab penting dalam misi untuk skuad hijau kuning bangkit selepas berdepan kekalahan mengejut kepada Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super minggu lalu.

Victor yang pernah membantu Kedah memenangi treble selama dua musim berturut-turut bakal mengetuai pasukan itu yang menerima kunjungan Terengganu di Stadium Darul Aman pada Jumaat malam.

Berstatus penolong jurulatih, Victor akan mengendali skuad itu pada perlawanan kali ini kerana Aidil Sharin Sahak sedang mengikuti kursus kejurulatihan di ibu negara.

Pastinya cabaran yang perlu dihadapi juga tidak mudah kerana Terengganu adalah sebuah pasukan mantap yang berada pada kedudukan terbaik mereka.

Bagaimanapun, Victor tidak mahu panik dan sedia memastikan skuadnya tidak lagi berputih mata dalam perlawanan kali ini bagi merebut kedudukan lebih baik di carta liga.

"Dengan bantuan rakan kejurulatihan yang ada, saya akan membariskan kesebelasan terbaik demi mencapai matlamat  untuk mengutip mata penuh pada perlawanan ini.

"Rizal Ghazali dan penjaga gol kita, Ifwat Akmal akan kembali bersama barisan pemain utama selepas digantung perlawanan dan mengalami kecederaan sebelum ini.

"Kita lihat pemain ketika ini sedang bersemangat untuk memastikan kita bangkit dengan kemenangan kerana mereka akan bermain di Stadium Darul Aman.

"Apa yang penting mereka tidak boleh leka dan memandang rendah kemampuan lawan dan sebaliknya sentiasa berusaha sepanjang permainan untuk memastikan tiga mata menjadi milik Kedah," katanya.

Sebagai bekas pemain, Victor turut yakin kehadiran penyokong Kedah akan membakar semangat pemain dan menjadi nadi kebangkitan skuadnya.

  


Victor, Kedah, Liga Super

Artikel Lain