suria

Hamidin lepas jawatan naib presiden AFF atas dasar semangat perpaduan

Hamidin Mohd Amin

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin melepaskan jawatannya sebagai naib presiden Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) yang dimenangi tanpa bertanding pada Kongres AFF di Siem Reap, Kemboja 17 Mac lalu.

Hamidin telah menjelaskan keputusan yang diambilnya kepada Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth menerusi satu surat pada 7 April lalu berkuatkuasa serta merta.

Menurut Hamidin, beliau membuat keputusan ini atas dasar semangat perpaduan susulan pelantikannya sebagai ahli jawatankuasa eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi penggal 2019-2023 pada 6 April lalu.

"Atas dasar menghormati semangat perpaduan dalam kalangan ahli gabungan AFF, saya dengan ini memutuskan untuk melepaskan jawatan sebagai naib presiden AFF berkuatkuasa serta merta.

“Susulan perbincangan dengan Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa dan Mejar Jeneral Sameth, keputusan diambil ini bukan sahaja membolehkan saya lebih fokus pada tanggungjawab saya sebagai ahli exco AFC, malah ia membuka laluan kepada rakan-rakan negara jiran menyumbang tenaga sebagai naib presiden AFF," ujarnya dalam kenyataan kepada media pada Rabu.

Hamidin bersama Datuk Seri Zaw Zaw dari Myanmar dan Datuk Seri Francisco Kalbuadi Lay dari Timor Leste memenangi kerusi tiga naib presiden AFF tanpa bertanding.

Selain itu, Mejar Jeneral Sameth merupakan Presiden AFF yang baharu dipilih bagi menggantikan Sultan Ahmad Shah Al Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar, yang menolak pencalonan kerana gering.

Sameth memenangi jawatan presiden tanpa bertanding berikutan penarikan diri Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Hamidin Mohd Amin, AFF, AFC, FAM

Artikel Lain