suria

Solskjaer sedia jual Sanchez pada harga RM267 juta

Alexis Sanchez.

OLE Gunnar Solskjaer bersedia menjual Alexis Sanchez pada harga 50 juta pound sterling (RM267 juta) pada musim panas ini.

Sanchez mempamerkan aksi menakjubkan bersama Arsenal selama tiga musim sebelum dia berhijrah ke Old Trafford pada Januari 2018 menerusi pertukaran dengan Henrikh Mkhitaryan.

Penyokong United teruja dengan kehadiran Sanchez di Old Trafford tetapi pemain kebangsaan Chile itu gagal menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.

Dia hanya menjaringkan lima gol dalam 41 penampilan pada semua perlawanan.

Selain Jose Mourinho, Solskjaer turut kecewa dengan prestasi hambar Sanchez.

Kini United sedia melepaskan pemain berusia 30 tahun itu, lapor The Sun.

Solskjaer tidak melihat Sanchez sebagai sebahagian daripada perancangannya dengan kelab berharap dapat menarik pembeli berpotensi.

Penjualan Sanchez juga dilihat sebagai peluang untuk David De Gea menandatangani kontrak baharu bersama United.

Harapan Sanchez untuk terus kekal bersama United terjejas bulan lalu selepas dia bergelut dengan kecederaan lutut.

Namun Sanchez menegaskan dia mahu membawa kegembiraan kepada penyokong United dan membantu pasukan memenangi lebih banyak trofi musim depan.

"Saya ingin sentiasa menunjukkan cinta saya kepada bola sepak. Saya tahu apa yang boleh saya lakukan. Saya percaya dengan kebolehan saya.

"United sebuah kelab penting bukan sahaja di England tetapi di peringkat global dan saya mahu membantu pasukan memenangi lebih banyak trofi untuk penyokong," katanya. - Metro.co.uk

Artikel Lain