suria

Karim masih pertimbang jawatan presiden KOM

PRESIDEN Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim masih mempertimbangkan sama ada mempertahankan jawatan presidennya kerana publisiti buruk mengenai beliau dalam media.

Karim yang dilantik sebagai Presiden KOM pada 2014, berkata masih terlalu awal untuk membuat keputusan sekarang, sama ada beliau akan mempertahankan jawatan tertinggi itu semasa pemilihan KOM pada Jun.

“Bergantung kepada keluarga saya kerana mereka sudah muak membaca artikel yang diputar belit dalam media. Lagipun masih terlalu awal, bila sudah sampai masanya barulah buat keputusan,” katanya kepada Bernama.

“Saya menawarkan khidmat saya secara sukarela dalam KOM, tiada sesiapa yang membayar gaji saya termasuk kerajaan kita. Tunggu sehingga pemilihan Jun, biarlah majlis kepimpinan tertinggi KOM membuat keputusan, sama ada mereka masih memerlukan khidmat saya atau sebaliknya,” tambah beliau.

Karim diminta mengulas mengenai desakan beberapa pihak yang meminta beliau meletak jawatan presiden KOM selepas beliau dilucutkan jawatan dalam Majlis Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) pada Mei tahun lepas.

Karim kemudiannya mengemukakan rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) terhadap keputusan panel penilai IAAF itu, tetapi badan kehakiman antarabangsa tersebut telah mengesahkan kepada Bernama bahawa keputusan muktamad dibuat pada 17 Disember, iaitu menolak rayuannya.

Laporan media mengaitkan penyingkirannya dengan satu dokumentari yang disiarkan oleh badan penyiaran awam Jerman, ARD pada Mac 2016, menuduh Karim melindungi amalan doping di Malaysia.

KOM, yang sebelum ini dikenali sebagai Persekutuan Olahraga Malaysia, mengenakan tindakan penggantungan enam tahun ke atas Karim pada 2012 kerana terbabit dalam kes membantu enam atlet olahraga, yang enggan menjalani ujian doping yang dijalankan Institut Sukan Negara (ISN) pada 2011.

Karim, bagaimanapun membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi di sini dan berjaya membatalkan hukuman penggantungan itu yang kemudian dilantik sebagai Presiden KOM pada penghujung 2014.

“IAAF tidak mendapati saya bersalah atas apa-apa, mereka menyingkirkan saya kerana hal pentadbiran. Ini apa yang telah dimaklumkan IAAF kepada CAS apabila saya mengajukan soalan kepada mereka tentang alasan mereka mendapati saya bersalah.

“Pendirian IAAF sangat jelas mengenai perkara itu. Saya masih mempunyai hubungan baik dengan IAAF,” katanya.- Bernama

Karim, KOM

Artikel Sebelum

Pesawat Sala akhirnya ditemui

Artikel Lain