TMJ kecewa, minta penyokong kongsi idea tangani isu jualan tiket - Sukan | mStar

TMJ kecewa, minta penyokong kongsi idea tangani isu jualan tiket

PETALING JAYA: Pengerusi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim meluahkan rasa kecewa dengan situasi penjualan tiket Piala AFF Suzuki pada Ahad.

"Saya kecewa dengan apa yang berlaku berkenaan penjualan tiket final Piala AFF Suzuki.

"Saya harap penyokong boleh beri idea mengenai solusi untuk isu penjualan tiket dan berharap pihak FAM juga akan mencari jalan penyelesaian. Perkara ini tidak boleh berterusan," jelas Tunku Ismail dalam satu status di Twitternya pada Isnin.

Tambah Tunku Ismail, beliau akan cuba sebaik mungkin untuk mencari penyelesaian supaya isu ini tidak berulang pada masa depan kerana penyokong adalah nadi bola sepak.

Dalam masa sama, netizen turut berkongsi idea bagaimana untuk mengatasi masalah ini berulang.

Sebahagian daripada netizen memberi cadangan mengenai penjualan tiket yang patut dibuat.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan kaunter tiket ditutup sepenuhnya pada Ahad selepas habis dijual secara online dan fizikal.

Tiket penjualan secara fizikal di Stadium Nasional Bukit Jalil mendapat kritikan daripada penyokong bola sepak tempatan kerana hanya beberapa minit kaunter dibuka dan telah habis dijual.

Ribuan penyokong sudah siap sedia bermalam di pekarangan stadium sejak Sabtu malam untuk beratur membeli tiket.

Pada Jumaat, penjualan tiket secara talian dibuka dan sebanyak 40,000 keping habis dijual.

TMJ , tiket final

Artikel Berkaitan