suria

MB Perak dilantik presiden baharu Pafa

Ahmad Faizal Azumu.

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilantik sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) yang baharu.

Keputusan sebulat suara itu dibuat semasa kongres luar biasa pada Khamis, di mana beliau menggantikan Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, yang meletakkan jawatan pada 8 November lalu.

Mengenai pelantikannya, Ahmad Faizal berkata, ia merupakan satu tanggungjawab berat dan berharap ahli jawatankuasa Pafa dan persatuan bola sepak lain di negeri itu dapat membantu beliau menjadikan skuad Seladang lebih kuat setiap musim.

"Saya juga yakin jawatan ini tidak akan menjejaskan tanggungjawab saya mentadbir negeri.

"Setiap daripada kita dalam Pafa mempunyai tanggungjawab dan sebagai presiden, saya akan berusaha mendapatkan tajaan untuk pasukan," katanya pada sidang media selepas majlis berkhatan di Taman Meru 2C di sini, Jumaat.

Ahmad Faizal turut menggesa semua persatuan bola sepak daerah untuk lebih aktif dalam membantu Pafa menjadi skuad yang lebih kuat.

"Mereka telah diberi peluang untuk memainkan peranan dan mempunyai tanggungjawab untuk membantu negeri," katanya, sambil menambah penggalnya sehingga 2021.

"Saya mahu kita bekerjasama bagi memperkukuhkan momentum bagi mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang," tambahnya.

Hasnul Zulkarnain meletak jawatan susulan kecaman berhubung beberapa gambar beliau 'tidak menghormati' trofi Piala Malaysia yang tular di media sosial.

Setiausaha kerajaan negeri (SUK), Zainal Azman Abu Seman dilantik sebagai timbalan presiden manakala Datuk Adly Shah Ahmad Tah dikekalkan sebagai pengurus pasukan. - The Star

Ahmad Faizal Azumu, Pafa

Artikel Lain